DNA UMNO Tetap Nasionalisme Melayu Dan Islam – Mohamad

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata DNA UMNO ialah nasionalisme Melayu dan Islam.

Berucap ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, Mohamad berkata ia adalah jati diri yang sama sekali tidak akan kendur.

“Kita parti nasionalis. Mempertahankan Melayu dan Islam itu perjuangan kita. Kerana itulah juga kita dipanggil ‘asabiyyah’ selama berpuluh tahun oleh parti tertentu. Kita dilabel parti kesukuan dan perkauman fanatik.

“Sekarang, hanya kerana haluan politik kita berbeza, kita difitnah membelakangkan Melayu dan Islam. Hanya kerana duduk dalam kerajaan yang di dalamnya ada parti-parti lain, tidak bermakna kita membuang agama dan membuang Melayu. Jawapannya, sama sekali tidak,” tegas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Hadir sama ketiga-tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan; Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan ketua-ketua sayap pergerakan.

Tambahnya lagi, UMNO akan memperjuangkan Islam dan Melayu dalam kerangka ‘hubbul watan’ yang lebih sederhana dan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia dengan unit politik dan sosialnya yang beraneka agama, kaum dan etnik serta budaya.

“Jadi, matikanlah segala keraguan tentang ketegasan pendirian UMNO, untuk bangsa Melayu dan Islam. Kesimpulannya, kita tidak akan mundur ke belakang. Kita akan terus maju ke hadapan.

“Kita pro pembangunan. Kita mencintai perpaduan. Kita memilih kestabilan dan kemakmuran. Itulah yang menjadi ‘tagline’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“UMNO pro kemajuan. Pro pembaharuan dan pro demokrasi. Dan kita memilih untuk bekerja dengan mereka demi Malaysia,” ujarnya.

Begitu juga katanya, realitinya ialah UMNO sebenarnya mewakili kepentingan Melayu dan Islam dalam Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah, kita ada fungsi strategik dan kita akan meneruskan fungsi strategik tersebut dengan baik. Jadi mari kita terokai jalan untuk mengukuhkan kerjasama ini di pelbagai peringkat dan lapangan.

“Kerana untuk UMNO, kembali ke acuan ‘identity politics’ yang terlalu sempit dan terlalu terbatas, hanya akan lebih membataskan potensi UMNO dan Malaysia,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.