Pimpinan Dan Ahli UMNO Ucap Tahniah Hari Keputeraan Agong

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Pimpinan UMNO dan seluruh ahli di seluruh negara merafak sembah dan merakamkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi akuan Facebook mendoakan agar pemerintahan Yang di-Pertuan Agong bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan, dilanjutkan usia dan sentiasa diberkati oleh Allah SWT.

“Dirgahayu Tuanku! Merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada Isnin, 5 Jun 2023 bersamaan 16 Zulkaedah 1444H.

“Patik dengan penuh sembah takzim bersama keluarga mendoakan agar pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan, dilanjutkan usia dan sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Insya-Allah,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut mendoakan kesejahteraan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta seluruh kerabat Seri Paduka.

“Turut didoakan semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta putera-putera, puteri-puteri dan kaum kerabat Seri Paduka Baginda berdua sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah dan seluruh naungan Tuanku mendapat limpahan manfaat atas kebijaksanaan Tuanku. Daulat Tuanku,” tambahnya.

Selain Ahmad Zahid, menerusi akaun media sosial masing-masing pimpinan UMNO turut berkongsi poster ucapan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Antaranya seperti Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Penerangan Datuk Seri Azalina Othman Said serta ketua-ketua sayap pergerakan. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.