PAU 2023 Perlu Jadi Medan Penyatuan, Perpaduan Ahli Dan Akar Umbi – Syed Mohd Johan
ALOR SETAR, 1 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 perlu menjadi medan perpaduan untuk para perwakilan dan akar umbi setelah parti melalui fasa pemilihan serta Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menempuhi pelbagai cabaran dalam masa yang singkat termasuklah ditolak oleh rakyat dengan dahsyat.
“PAU 2023 ini perlulah menjadi medan kepada penyatuan bahkan perpaduan dikalangan ahli dan akar umbi. UMNO/BN telah melalui pelbagai proses yang sukar dalam tempoh masa setahun ini.
“UMNO/BN telah ditolak dengan dahsyatnya oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan kita perlu menerimanya dengan hati yang terbuka. Atas titah Yang di-Pertuan Agong, kita telah bersama dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Seusai PRU ke-15, kita juga telah melalui proses pemilihan untuk menentukan barisan kepimpinan baharu parti. Ada yang menang, ada yang tidak berjaya. Maka, PAU 2023 ini perlu menjadi medan kita kembali bertaut meneruskan perjuangan parti,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu menetapkan hala tuju baharu parti untuk berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi.
“Selain itu, presiden juga perlu untuk menetapkan hala tuju baharu parti lebih-lebih lagi apabila kita kian menghampiri PRN di enam negeri.
“Umum mengetahui bahawa kita akan bekerjasama dengan PH untuk PRN ini jadi beliau perlu menetapkan pemikiran para perwakilan untuk memilih calon-calon dari Kerajaan Perpaduan.
“Adalah penting untuk kita menangkan calon-calon daripada parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan bagi menstabilkan politik dan ekonomi negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar para perwakilan menggunakan medan PAU 2023 ini sebaiknya kerana berdasarkan sejarah lalu, himpunan ini menjadi titik mula kepada pembentukan sesuatu dasar kerajaan.
“Saya berharap agar para perwakilan menggunakan platform PAU 2023 ini sebaiknya agar ia kembali menjadi suara kepada orang Melayu dan rakyat kepada kerajaan.
“Banyak sejarah dahulu, PAU menjadi titik mula kepada sesuatu dasar kerajaan itu dibentuk, diterjemah dan diaplikasikan. Maka, gunakanlah platform ini sebaik mungkin,” katanya lagi.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pula bakal berlangsung pada 7 sehingga 10 Jun ini dan ianya akan mengumpulkan para perwakilan wakil daripada 191 bahagian seluruh Malaysia sebagai tanda manifestasi kepada semangat perjuangan parti yang tidak pernah luntur.
Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa PAU pada tahun ini diadakan lebih awal kerana selepas itu akan diadakan sesi jelajah ke negeri-negeri yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan menggerakkan jentera. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman