Pemuda UMNO Aspirasi Konvensyen Generasi Muda ASEAN Untuk Masa Depan

Pergerakan Pemuda UMNO terus mengorak langkah mendepani cabaran masa hadapan dengan kesiapsiaagan bersama pimpinan generasi muda parti-parti politik serantau.

Untuk langkah ulung, Pemuda UMNO bersama ahli jawatankuasanya yang diketuai Dr Muhamad Akmal Saleh sendiri telah mengadakan lawatan ke Indonesia pada 27 – 29 Mei lalu.

Dalam kesempatan ini, delegasi terbabit telah mengadakan pertemuan dengan Partai Gerindra, sayap Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (Benteng Muda Indonesia), Partai NasDem, Angkatan Muda Partai Golkar dan Angkatan Muda Pembaharuan Indonesia.

Pertemuan yang dilaksana secara berasingan dengan Dr Akmal sendiri menyampaikan hasrat untuk menjalin kerjasama akrab serta mengadakan konvensyen bagi peringkat ASEAN demi kesejahteraan sejagat.

Tujuan utama delegasi tersebut adalah mengadakan konvensyen pemimpin muda dari ketua-ketua parti sayap politik di seluruh wilayah ASEAN.

Konvensyen ini bertujuan untuk memperkuat hubungan antara negara-negara dalam ASEAN khususnya membabitkan generasi muda dengan jalinan persahabatan lebih akrab agar pelbagai masalah berbangkit dapat diselesaikan secara tuntas.

Bagi pertemuan pertama yang dilakukan bersama Gerindra, delegasi Pemuda UMNO telah disambut oleh Setiausaha Agungnya Ahmad Muzani dengan perbincangan didasari usaha untuk menghimpunkan golongan muda dari rantau ASEAN bagi membentuk gerakan bersama yang bukan hanya berkaitan politik tetapi juga hal ehwal perdagangan hinggalah budaya serantau.

Pertemuan dengan Partai Golkar pula lebih berpaksikan pensejarahan memandangkan UMNO dan Golkar mempunyai persamaan dari segi perjalanan politik, memegang tampuk kerajaan, menjadi pembangkang dan kemudian sebahagian dari kerajaan kembali.

Delegasi Pemuda UMNO telah disambut mesra oleh Angkatan Muda Partai Golkar (AMPG) dengan Ketua Umumnya, Ilham Permana.

Dalam ucapannya Ilham Permana menzahirkan penghargaan atas usaha Dr Akmal dan bersama delegasi Pemuda UMNO Malaysia kerana telah mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan bersama AMPG.

Golkar merupakan partai yang banyak persamaan dengan UMNO malah menyambut baik cadangan untuk mengadakan Konvensyen pemimpin politik ASEAN.

Begitu juga kunjungan Pemuda UMNO kepada Benteng Muda Indonesia(BMI) dengan disambut Setiausaha Agung BMI-PDIP, Patria Ginting; Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa, Regina Vianney serta Dewan Pimpinan pusat di Pejabat Pusat BMI di Menteng.

Dalam kunjungan ini pimpinan Pemuda UMNO dan BMI PDIP telah bertukar-tukar pandangan dan perkara yang berbangkit seperti sistem pengkaderan, minat pengundi muda, ekonomi anak muda, dan berkaitan isu politik semasa.

Lebih bermakna, BMI-PDIP telah berkongsi dengan delegasi Pemuda UMNO berkaitan cara mereka menarik minat anak muda untuk memasuki gelanggang politik melalui pendekatan yang kreatif.

Kunjungan seterusnya ialah ke pejabat NasDem untuk bertemu dengan Ketua Koordinator Kemenangan Pemilu, Prananda Surya Paloh, yang turut disertai Ketua Bidang Internasional, Martin Manurung dan Pemimpin Muda NasDem.

Dimaklumkan bahawa NasDem mempelopori kerusi Dewan Perwakilan Rakyat yang ketiga terbesar di Indonesia dan ianya sekaligus menjadi partai komponen politik yang penting bagi koalisi pemerintahan sekarang.

Dalam pertemuan ini pelbagai isu politik semasa yang dibincangkan termasuk penglibatan dalam parti politik dan penglibatan pengkaderan yang dilaksana melibatkan kelompok rakyat tanpa pengetahuan politik namun kesedaran terhadap hal-hal semasa.

Tidak ketinggalan, delegasi Pemuda UMNO mengadakan pertemuan dengan Angkatan Muda Pembaharuan Indonesia (AMPI) diketuai oleh Ketua Umumnya Jerry Sambuaga dengan disertai Setiausaha Agung AMPI, Andi Bahri serta Bendahari Umum AMPI, Kevin Tandra dan seluruh kepimpinan pusat.

Lebih menarik, kehadiran Pemuda UMNO disambut dengan perarakan kompang dan pertunjukan silat serta acara berbalas pantun.

Diselusuri, AMPI dan UMNO mempunyai banyak persamaan dari segi pemilihan dan perjuangannya malih masing-masing sepakat untuk memperkukuhkan lagi siraturahim antara sesama organisasi sekaligus dapat membina kolaborasi dalam pelbagai sektor.

AMPI dan UMNO bersetuju untuk menubuhkan program kepimpinan anak muda dan menjalinkan kerjasama diantara partai partai di Indonesia, Malaysia dan negara negara Asean yang lain.

Tidak ketinggalan, dalam kunjungan ke Jakarta, delegasi Pemuda UMNO ini turut berkunjung ke Duta Malaysia di Indonesia TYT Datuk Syed Md Hasrin.

Terbukti hasrat Pemuda UMNO untuk membentuk satu konvensyen pemimpin muda dari ketua-ketua parti di Indonesia dan negara-negara ASEAN yang lain bukan hanya mendapat sokongan malah pelbagai buah fikiran turut disaran agar hasrat ini berjaya direalitikan.

Apa yang pasti, semoga hasrat ini direalisasikan dengan manfaat tentunya akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar bukan sahaja untuk warga Malaysia tetapi juga komuniti besar dalam ASEAN, demi masa hadapan yang lebih baik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit