MB Kedah Jangan Cari Publisiti Picisan, Keluar Kenyataan Tidak Masuk Akal – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak mencari publisiti picisan dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal.

Memberi respons kepada kenyataan yang mengatakan bahawa ‘Pulau Pinang itu Kedah punya’, Shaiful Hazizy turut mencabar Muhammad Sanusi untuk membentangkan perancangan lanjutnya.

“Cari gaduh, budaya menteri besar ‘sempoi’, dah ketandusan idea? Dah tiada modal politik? Sudah tandus idea nak tawarkan kepada rakyat?

“Kalau dah ada dapatan Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) nak buat apa? Tuntut Pulau Pinang? Bentang sikit apa perancangan kalau JUPEM punya ‘finding’ bahawa Pulau Pinang adalah hak Kedah?

“Dah tengok Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan? Kesian pegawai menteri besar, mungkin lepas ni kena ‘cover’ balik apa yang beliau terlajak cakap,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut beliau, adalah lebih baik sekiranya Muhammad Sanusi memikirkan pendekatan segera jangka masa pendek untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi masalah air.

“Hakikatnya, daripada mencari publisiti picisan seperti ini, lebih baik fikirkan pendekatan segera jangka masa pendek untuk meringankan beban rakyat yang terpaksa menanggung beban hidup akibat masalah air, ataupun cari jalan untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi mempercepatkan projek sedia ada.

“Tindakan jolok-menjolok perkara-perkara yang sudah menjadi asas ini bakal mengundang pertelingkahan kearah ‘malapetaka’ perlembagaan yang amat besar.

“Pesanan saya pada menteri besar ‘sempoi’, jadilah pemimpin sebenar, jaga rakyat, jangan jadi pelaku ‘sarkas’ yang semata-mata berfungsi menjadi penghibur,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan bahawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah milik negeri tersebut.

Jelasnya, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.