Pemuda UMNO Aplikasi Peranan Penting, Perkukuh Hubungan Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Delegasi Pemuda UMNO Malaysia yang dipimpin oleh Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh telah memainkan peranan dalam memastikan hubungan diplomatik dan persahabatan antara dua negara Malaysia-Indonesia terus berlangsung.

Dalam hal ini, Dr Muhamad Akmal bersama delegasi AJK Pemuda UMNO telah berkunjung bagi misi diplomatik ke Indonesia.

Delegasi ini bertemu dengan berbagai-bagai sayap pemuda partai politik di Indonesia dengan tujuan memperkuat hubungan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia.
“Pembaharuan itu mesti bermula dari generasi kita. Moga hubungan ini berkekalan selamanya,” katanya menerusi laman Facebooknya berkaitan kunjungan terbabit.

Terdahulu kunjungan utama delegasi ini adalah untuk menzahirkan hasrat bagi mengadakan sebuah konvensyen pemimpin muda dari ketua-ketua parti sayap politik di seluruh wilayah ASEAN iaitu bagi memperkuat hubungan antara negara-negara.
Dr Akmal percaya bahawa melalui hubungan yang terjalin di luar batasan diplomasi biasa akan menjadi lebih baik kerana ia akan lebih bersifat kekeluargaan dan tidak formal, malah berpendapat bahawa usaha ini adalah penting dan akan lebih mudah dijayakan dengan melibatkan pimpinan muda dalam parti politik di ASEAN.

Jelasnya, hubungan yang terjalin melalui usaha ini diharapkan akan membantu negara-negara ASEAN, terutamanya di masa depan, terutama dalam menghadapi isu-isu antara negara seperti cabaran ekonomi, sosial, dan alam sekitar.

Delegasi Pemuda UMNO telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak yang berkepentingan dalam kunjungan berasingan iaitu Setiausaha Agung Partai Gerindra, Ahmad Muzani; Duta Besar Malaysia di Indonesia, TYT Datuk Syed Md Hasrin.

Pertemuan turut diadakan dengan DPP AMPG yang diketuai oleh Ilham Permana, DPP Benteng Muda Indonesia (BMI) diketuai oleh Patria Ginting, Partai NasDem Nasional Demokrat yang diketuai oleh Prananda Surya Paloh, dan Angkatan Muda Pembaharuan Indonesia (AMPI) yang disambut oleh Jerry Sambuaga.

Kunjungan delegasi Pemuda UMNO ke Indonesia ini merupakan langkah yang penting dalam memimpin hubungan diplomatik dan persahabatan antara kedua negara di samping konvensyen yang diusulkan berpotensi memperkuat hubungan antara pemuda di seluruh wilayah ASEAN, menciptakan pemahaman, kepercayaan, dan kerjasama demi kemajuan bagi seluruh wilayah Asia Tenggara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit