PRN: Beberapa Jawatankuasa, Sekretariat Diperbaharui Bagi Menarik Sokongan Rakyat Di Selangor

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Untuk menarik semula sokongan rakyat sokongan rakyat di negeri Selangor sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi, masih ada beberapa jawatankuasa dan sekretariat perlu diperbaiki dan diperbaharui.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, persediaan negeri tersebut untuk berhadapan dengan PRN telah dilakukan daripada awal memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 baru sahaja berlaku pada November lalu.

“Persediaan itu daripada awal dah ada. Kita masih lagi dalam mood pilihan raya sebenarnya sebab baru enam bulan daripada PRU yang lepas.

“Dalam mood raya itu juga kita cuba suaikan dengan PRN. Saya melihat sambutan rakyat terhadap program jamuan raya dianjurkan oleh UMNO di negeri Selangor mendapat sambutan yang cukup hebat berbanding tahun lepas.

“Persiapan dari segi jentera kita telah ada. Begitu juga dengan ‘war room’. Cuma kita nak perbaiki beberapa jawatankuasa dan sekretariat untuk menarik balik sokongan rakyat serta para pengundi di negeri Selangor,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas beliau, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN ini dibuat untuk mengukuhkan lagi kestabilan politik di negara ini.

“Di Selangor, kalau kesemua kerusi ada penggabungan seumpama di peringkat pusat antara BN-PH, Insya-Allah berdasarkan data keputusan pilihan raya lepas semuanya akan berpihak kepada BN-PH.

“Kita harap data itu berubah ke arah yang lebih baik lagi. Maknanya, kemenangan itu bertambah lagi. Saya rasa itu adalah satu tambah nilai kepada kemenangan BN dan juga PH sebagai Kerajaan Perpaduan di negeri Selangor nanti,” katanya lagi.

Mohd Zaidi turut berharap agar semua jentera melakukan gerak kerja daripada sekarang untuk menghadapi PRN ini tanpa menunggu sebarang arahan.

“Harapan saya pertama sekali kepada semua jentera BN dalam negeri Selangor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertanding, mereka seharusnya melakukan gerak kerja daripada sekarang. Tidak perlu menunggu arahan kerana ianya telah ada sebelum ini untuk kita bergerak.

“Saya harap dengan pendekatan yang berbeza kali ini (gabungan BN-PH), semua jentera BN boleh adapt dengan suasana baru ini dan mereka boleh bekerjasama di antara satu sama lain dan menggabungkan kekuatan yang ada di pihak PH dan BN.

“Saya rasa, ia akan menghasilkan satu natijah yang cukup baik. Harapan saya, kemenangan akan menyebelahi BN-PH di negeri Selangor,” katanya lagi.

Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung di enam buah negeri memandangkan negeri-negeri tersebut tidak membubarkan DUN mereka pada PRU ke-15 lalu.

Negeri-negeri yang dimaksudkan ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan juga Kelantan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit