Orang Asli Kuala Boh Akan Nikmati Rangkaian Komunikasi Lebih Baik – Fadzli
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multmedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata menara itu dibina syarikat Edotco Group Sdn Bhd dan diserahkan kepada syarikat telekomunikasi CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) semalam.
“CelomDigi merupakan syarikat dilantik untuk melakukan kerja selanjutnya yang merangkumi pemasangan peralatan elektronik, penyambungan gentian optik dan bekalan tenaga elektrik sehingga kepada pengaktifan perkhidmatan 4G,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya.
Perkhidmatan Internet dan 4G yang tidak memuaskan di perkampungan itu pernah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada kunjungan Seri Paduka ke situ pada Januari lepas.
Fadzli berkata buat masa ini, pihak MEASAT menyediakan perkhidmatan 4G secara interim menggunakan teknologi satelit bagi menampung keperluan penduduk sehingga menara itu beroperasi.
Pada kenyataan itu, Fadzli berkata 53 daripada 270 menara telekomunikasi baharu di Pahang menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah siap dan beroperasi, manakala bakinya dijadualkan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun ini. – BERNAMA