Jangan Terpengaruh Manipulasi Berkaitan UMNO, Teruskan Tekad ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ – Jamal
PAPAR, 24 Mei – Ahli-ahli UMNO perlu teruskan tekad bersama berpaksikan ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat’ khususnya dalam mendepani cabaran hari ini termasuk pelbagai manipulasi berkaitan parti.
Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi berhubung pelbagai dakwaan terhadap UMNO khususnya berkaitan sokongan dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.
“Sekarang ini kita lihat macam-macam propaganda dan manipulasi negatif mula timbul apatah lagi apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) makin hampir, justeru saya ingin mengingatkan anggota parti agar jangan mudah terpengaruh malah jangan sesekali terikut-ikut dengan cubaan pihak-pihak tertentu untuk menggagalkan kerajaan hari ini.
“Kita perlu perkukuh kembali UMNO dan berpegang kepada organisasi parti dengan Presiden yang menjadi ketua kita melakukan yang terbaik bukan hanya untuk kepentingan parti tetapi juga demi agama, bangsa dan negara.
“Ada usaha untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan sedangkan gabungan yang ada ini sudah kelihatan mula akrab dan berlapang dada. Kepelbagaian parti tidak sedikit pun menampakkan kegoyahan kerjasama. Makin utuh dan stabil,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam hal ini beliau menyorot berkaitan dakwaan undi Kerajaan Perpaduan bermakna undi Dap yang menjadi momokan segelintir pihak bagi memburukkan UMNO dan merosakkan keyakinan anggota parti.
“Hari ini kita bergerak sebagai satu kumpulan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. Kita bukan bertanding atas diri sendiri tetapi atas tiket parti. Kita mahukan yang terbaik demi rakyat dan negara maka kerana itu kita menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan malah itulah titah Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Kita mesti faham dan tahu realiti politik kini apatah lagi apabila kita menyokong Kerajaan Perpaduan. Ia bukan atas nama individu atau satu-satu parti semata-mata.
“Kerana itu tidak timbul soal undi Dap atau mana-mana parti politik lain dalam pilihan raya kelak apatah lagi yang menuduh kita bukan-bukan adalah mereka dahulu yang lebih awal melakukan perseteruan tanpa memikirkan kepentingan awam,” katanya.
Terang Jamal, bagi mendepani masa hadapan tentunya PRN adalah yang paling hampir iaitu melibatkan enam negeri di Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah.
“Negeri-negeri ini adalah tadbiran pihak lawan maka tentunya kita mahukan ianya selari dengan peringkat Pusat agar penyaluran bantuan untuk pembangunan dan kemajuan akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
“Lantaran demi rakyat, untuk melancarkan urusan pentadbiran maka kita mahukan Kerajaan Perpaduan bukan hanya di peringkat Pusat tetapi juga di negeri-negeri lain. Propaganda yang dimainkan ini tidak lebih daripada cuba meluntur dan menghilangkan keyakinan rakyat terutama penyokong kerajaan hari ini.
“Kerana itulah pihak lawan hari ini akan terus memanipulasi dan melakukan apa-apa propaganda berkaitan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan juga cuba meruntuhkan kerajaan yang ada,” katanya lagi. – UMNO Online