Konvensyen Pemuda Perpaduan Garis Lima Tekad Bina Negara Bangsa

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Konvensyen Pemuda Perpaduan hari ini menggariskan ‘Tekad Pemuda Perpaduan’ yang menggarap nilai kesepakatan, kebersamaan dan kestabilan dalam pelbagai aspek untuk membina negara bangsa yang kukuh.

Tekad yang bertemakan “Bina Bersama” itu merangkumi lima tekad iaitu kesepakatan politik, perpaduan nasional, ekonomi belia, jaminan sosial serta kemampanan dan kestabilan sosioekonomi.

Pelancaran Tekad Pemuda Perpaduan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai acara kemuncak konvensyen itu sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Terdahulu, tekad itu ditandatangani Ketua Wira Warisan Mohd Ismail Ayob; Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah Jonnybone Kurum; Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Parti Sarawak Lukanisman Awang Sauni; Ketua Angkatan Muda Harapan Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Dr Muhamad Akmal Saleh.

Menerusi aspek kesepakatan politik, ia dapat dicapai menerusi membina kesepakatan dengan menghormati Perlembagaan Persekutuan demi mempertahankan masyarakat majmuk yang patriotik serta kebersamaan dalam membina negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Bagi aspek perpaduan nasional, adalah berlandaskan nilai hormat dan ihsan serta menghormati kepelbagaian latar belakang dan budaya yang menjadi asas utama pembentukan Malaysia.

Seterusnya bagi aspek ekonomi belia, usaha memastikan golongan belia dapat meneruskan hidup secara bermaruah dilaksanakan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan menyediakan pekerjaan bermutu yang dipacu oleh daya cipta, daya kreatif serta pendekatan mampan.

Usaha menyuburkan teras semangat setiakawan sesama rakyat Malaysia bagi menegakkan keadilan sosial dengan menjuarai nasib golongan kurang berkemampuan dan sederhana tanpa mengira agama dan budaya pula menjadi inti pati kepada aspek jaminan sosial.

Menerusi tekad kemampanan dan kestabilan sosioekonomi pula, intervensi strategik untuk merapatkan jurang sosioekonomi antara komuniti perlu dilakukan dengan meningkatkan keupayaan untuk daya saing supaya tiada golongan tercicir dalam menikmati kemakmuran negara.

Menariknya, Konvensyen Pemuda Perpaduan yang bermula sejak 9 pagi hingga 12 tengah hari tadi, ia dimulakan dengan aktiviti ‘ice breaking’ atau suai kenal antara perwakilan serta delegasi pemuda dan belia daripada pelbagai parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

Ini adalah pertama kali sayap pemuda daripada parti-parti politik tersebut dihimpunkan dalam sebuah acara, malah semua perwakilan parti yang hadir juga berpakaian berwarna putih sebagai lambang kebersamaan kepelbagaian parti politik. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.