UMNO Masih Relevan Biar Pun Ada Tanggapan Parti “Tidak Bernyawa Lagi”

KUALA LUMPUR, 12 Mei – UMNO masih relevan meskipun terdapat tanggapan bahawa parti itu seolah-olah “tidak bernyawa lagi,” terutamanya selepas memperlihatkan rekod prestasi kurang baik sejak 2018, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Beliau berkata UMNO yang telah melalui pelbagai cabaran sepanjang 77 tahun penubuhannya, masih mempunyai 26 Ahli Parlimen serta empat lagi Ahli Parlimen daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Di dalam kita melihat diri kita sendiri, kita jangan lupa lihat sejarah, namun kalau kita hanya menggali sejarah tanpa persediaan kita ke hadapan, maka kita tidak akan ke mana-mana. Dua puluh tiga tahun lagi, UMNO akan berusia 100 tahun ertinya dalam dua dekad lagi, apabila UMNO berusia 100 tahun ketika itu lakaran perjuangan UMNO mungkin telah berubah,” katanya.

Beliau berkata biarpun berada dalam kerajaan sekarang dengan jumlah Ahli Parlimen yang kecil, parti ini berfungsi dengan lebih baik dalam Kerajaan Perpaduan dengan konsep Malaysia MADANI berbanding dengan hubungannya dengan rakan kongsi dalam kerajaan sebelum ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam amanatnya sempena majlis sambutan Ulang Tahun ke-77 UMNO di sini malam tadi yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi parti.

Sementara itu, berhubung agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN ketika ditemui media berkata parti telah menyerahkan kepada Timbalan Pengerusi Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetuai rundingan bersama parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita menyerahkan kepada kebijaksanaan Timbalan Presiden UMNO (Mohamad) dalam membuat rundingan itu nanti,” katanya.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Mengulas mengenai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang dijadual berlangsung Ahad ini, Ahmad Zahid berkata kesemua 148 Ahli Parlimen yang mendokong kerajaan akan dihimpunkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menyampaikan amanat penting.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit