Hayati Perjuangan UMNO, Kekalkan Perpaduan Untuk Depani Cabaran Masa Depan – Suhaimi
SANDAKAN, 9 Mei – Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir mengingatkan ahli UMNO Sabah agar sentiasa menghayati perjuangan parti, bukannya menjadi gunting dalam lipatan sehingga menggadai maruah untuk kepentingan diri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata sikap buruk segelintir pihak yang suka mengeruh keadaan, mengadu domba dan menghasut orang ramai boleh memusnahkan masa depan anak muda serta merosakkan UMNO itu sendiri.
“Perjuangan UMNO penuh dengan cabaran tetapi sedikit pun tidak pernah melunturkan semangat perjuangan ahli-ahli yang setia kepada parti UMNO.
“Bagaimanapun, jangan pula ada di kalangan kita menjadi gunting dalam lipatan sehingga sanggup merosakkan parti untuk kepentingan diri,” katanya.
Suhaimi berkata UMNO Sabah tidak menolak kemungkinan ada musuh di dalam parti kerana dalam berpolitik ini ada musuh luar dan juga musuh dalam parti sendiri.
“Kita sebagai ahli-ahli UMNO perlu memahami asas perjuangan, bukannya menyokong atas kepentingan peribadi. Jangan ada menjadi pengkhianat kepada parti UMNO yang banyak jasa untuk negeri Sabah,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan semua ahli UMNO akar umbi supaya kekalkan perpaduan dan kesatuan agar terus diperkukuh walaupun berbagai-bagai cabaran dilalui.
Dalam masa yang sama, Suhaimi berpesan kepada semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian agar sentiasa mendekati dan membantu rakyat seperti yang telah diamanatkan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Suhaimi juga menjelaskan sebagai pemimpin di peringkat bahagian perlu menjadikan aktiviti turun padang dan dekati rakyat sebagai amalan berterusan.
“Ia bukannya secara bermusim bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik dan masalah yang mereka hadapi dapat dibantu,” katanya lagi. – UMNO Online