Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru, 27 Mei Ini – Khaled

KOTA TINGGI, 7 Mei – Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang ditangguh sejak 18 Mac lepas akan diteruskan pada 27 Mei ini di Berjaya Waterfront Hotel, di sini.

Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata setakat ini tiada pindaan tarikh dan lokasi pemilihan yang telah ditetapkan.

“Saya percaya semua menantikan (pemilihan) ini terutamanya ahli dan perwakilan UMNO, kerana bagi saya sewajarnya kepimpinan UMNO Bahagian Johor Bahru ini dapat diputuskan segera,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana 2023 di Dewan Felda Lok Heng Barat, di sini hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Abdul Halim Suleiman berkata proses pemilihan akan melibatkan jawatan Pengerusi Tetap, Ketua Bahagian, Timbalan dan Naib Ketua Bahagian.

Bagi jawatan Ketua Bahagian, ia menyaksikan pertandingan antara Naib Ketua Pemuda UMNO Mohd Hairi Mad Shah dan bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru Datuk Yahya Jaafar, bagi menggantikan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad yang memegang jawatan itu selama empat dekad sebelum ini.

Pada 18 Mac lepas, proses pemilihan UMNO Bahagian itu ditangguh dan digantung selepas terdapat dakwaan kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.