Tradisi Rumah Terbuka Jadi Wadah Rapatkan Hubungan Pelbagai Kaum – Bung Moktar
KINABATANGAN, 3 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menganggap tradisi rumah terbuka sempena meraikan Aidilfitri secara tidak langsung mampu menjadi wadah untuk merapatkan hubungan pelbagai kaum dalam negara ini.
Menurut beliau era globalisasi kini sudah banyak menjarakkan hubungan antara manusia dengan kehadiran gajet yang canggih sehingga masyarakat tidak lagi bergaul dengan individu di sekelilingnya.
“Pada asasnya, kita melihat amalan rumah terbuka bukan sekadar untuk meraikan rakan taulan dengan hidangan disediakan, tetapi ada rahmat yang tersembunyi di sebalik amalan rumah terbuka.
“Antaranya ialah ia dapat memupuk semangat kekitaan dan kejiranan. Warga kota misalnya, mereka tidak punya banyak masa untuk berkenal-kenalan lebih rapat dengan jiran mereka disebabkan kesibukan mengejar masa dan kerjaya, maka rumah terbuka adalah ruang terbaik,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian selepas meraikan lebih 5,000 tetamu yang membanjiri Dewan Masyarakat Sri Lamag di sini bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Jalinan Mesra Aidilfitri UMNO/BN Kinabatangan baru-baru ini.
Menurut Bung sudah menjadi amalan dan tradisi rakyat Malaysia mengadakan rumah terbuka iaitu bukan untuk Hari Raya Aidilfitri sahaja tetapi juga bagi setiap perayaan utama seperti Deepavali dan Tahun Baharu Cina.
“Hari Raya Aidilfitri misalnya disambut meriah setiap tahun oleh semua kaum di negara ini tanpa mengira agama dan keturunan. Masyarakat Melayu rata-rata akan mengadakan rumah terbuka bagi meraikan tetamu dan jiran tetangga serta rakan taulan, jauh dan dekat, justeru amalan rumah terbuka, sedikit sebanyak memberi ruang kepada ahli kejiranan untuk mengenali jiran mereka,” katanya.
Tambah Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, amalan rumah terbuka juga sangat berperanan dalam memupuk semangat perpaduan antara kaum di Malaysia.
“Dengan menghadirkan diri ke rumah terbuka sesuatu kaum itu, dapat melihat dan menyaksikan budaya masyarakat lain.
“Malah budaya rumah terbuka akan mendidik sikap hormat menghormati terhadap amalan kaum lain dan ini secara tidak langsung akan mendidik jiwa masyarakat untuk menerima kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.
“Sejak akhir-akhir ini dilihat begitu banyak individu tertentu yang sengaja menimbulkan isu sensitiviti keagamaan dengan menghina agama lain justeru amalan rumah terbuka ini merupakan pendekatan untuk menangani eleman negatif ini,” katanya.
Jelasnya amalan rumah terbuka adalah keunikan yang hanya ada di Malaysia dan tidak ada di negara lain.
“Tradisi ini perlu diteruskan dan perlu menjadi contoh kepada generasi baharu bahawa negara ini mempunyai cara tersendiri untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum.
“Ia adalah amalan nenek moyang orang Melayu, Cina dan India sejak turun temurun dan diharap ia terus kekal di tengah modenisasi dan globalisasi yang ada kalanya boleh menghakis jati diri dan sifat kemasyarakatan,” katanya lagi.
Majlis Aidilfitri terbabit diserikan dengan persembahan hiburan oleh artis-artis tempatan itu dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir; barisan kepimpinan UMNO Bahagian Kinabatangan, Ketua-Ketua UMNO Bahagian antaranya Lahad Datu, Libaran, Beaufort, Kota Belud, Pansiangan, Kudat, Batu Sapi dan Putatan. – UMNO Online