UMNO Sabah Sedia Bantu Rakan Politik Hadapi PRN – Bung

KINABATANGAN, 1 Mei – UMNO Sabah bersedia membantu rakan politik lain di Semenanjung yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya sedang menunggu dan akan meneliti jemputan untuk membantu rakan tersebut.

“Kebiasaannya memang ada diputuskan oleh Barisan Nasional (BN) pusat.

“Kita akan menunggu dan akan meneliti jemputan (daripada negeri yang bakal hadapi PRN) dan kita akan melihat di mana kita akan diletakkan untuk membantu calon BN ataupun rakan komponen kita yang lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO/BN Kinabatangan di sini hari ini.

Enam negeri dijangka menghadapi PRN tahun ini iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit