Rakyat Kedah Bakal Hadapi Sengsara Air Untuk Tempoh Dua Aidilfitri Lagi? – Shaiful Hazizy
KUALA LUMPUR, 25 April – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar jangan menyalahkan orang lain atas kegagalan menguruskan bekalan air di negeri berkenaan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata hakikatnya selepas mendapat mandat pada Mei 2020, Menteri Besar negeri itu mempunyai fokus dan tumpuan selama dua tahun lebih untuk memastikan masalah air ini dapat diselesaikan sama sekali di negeri Kedah.
Cumanya jelas beliau persoalan pokok disini adalah bermula Mei 2020 sehingga Mac 2023, kedua-dua Loji Rawatan Air (LRA) yangg amat kritikal bagi menyelesaikan permasalahan air untuk rakyat masih dibawah 10 peratus dan Menteri Besar juga sehingga kini gagal menjawab akan sebab kedua-dua LRA ini gagal menepati jadual persiapan yang sepatutnya.
“Menurut jawapan kerajaan negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas, beberapa projek Loji Rawatan Air (LRA) telah dilaporkan mengalami kelewatan kemajuan kerja. Dua di antaranya ialah projek LRA Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau (bernilai sekitar RM300 juta).
“Sebagai contoh Projek menaik taraf Loji Bukit Selambau bernilai RM129.4 juta yang sepatutnya siap 19.5 peratus akan tetapi kemajuan sebenar projek hanya sekitar 9 peratus. Sebuah lagi Loji Lubuk Buntar Lama pula dijadualkan siap pada tahap 97.7peratus namun kemajuan sebenar hanyalah 54peratus.
“Sebuah projek lain iaitu projek penukaran paip yang sudah uzur di bawah program pengurangan air tidak berhasil (Non-Revenue Water, NRW) juga masih belum menampakkan sebarang hasil. Projek NRW tersebut masih belum bermula menukar paip-paip lama yang telah uzur walaupun sudah memasuki suku kedua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi dengan adanya loji yang hanya dijangka siap pada 2025, serta ditambah pula dengan kegagalan kerajaan Sanusi merancang pelan jangka pendek dan sederhana, dan hanya menunggu projek LRA untuk siap maka rakyat negeri Kedah hampir pasti akan menghadapi masalah air setiap kali sambutan Aidilfitri, Aidiladha dan sambutan hari perayaan lain sehingga 2025.
“Oleh yang demikian, sudah tentunya rakyat akan terus dibelenggu masalah air untuk tempoh yang agak lama. Saya masih menunggu penjelasan rasional ataupun sebab kelewatan dikedua-dua loji bermula beliau menjadi Menteri Besar pada Mei 2020,” ujarnya.- UMNO Online