Pemimpin UMNO Perlu Cakna Kepada Keperluan Masyarakat – Mohd Rafi

LABUAN, 14 April – Pemimpin masyakarat terutamanya Ketua-Ketua Cawangan UMNO disaran terus cakna dan peka terhadap keperluan masyarakat di peringkar akar umbi serta berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan berkata, cogan kata UMNO ‘Bersatu,Bersetia Berkhidmat’ perlu menjadi panduan dalam memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin akar umbi iaitu bekerja berpasukan, setia kepada amanah yang diberikan selain memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat khususnya ahli-ahli cawangan UMNO di bawah jagaan mereka.

“Jika ini menjadi amalan maka saya yakin ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi akan terus menghargai peranan pemimpin dan memberikan sokongan padu kepada parti,“ katanya ketika ditemui selepas mengetuai program Ziarah Kasih Ramadahan anjuran UMNO Cawangan Saguking dekat sini kelmarin.

Turut serta Naib Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Khalid Abd Ghani; Ketua Wanita, Niswati Tarji; Ketua Pergerakan Pemuda, Saifful Pungut; Ketua Cawangan UMNO Saguking Zainal Bongsu dan Ketua Kampung Gersik Saguking, Osman Kadir.

Menurut Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO bahagian Labuan sebagai Ketua cawangan dan pemimpin akar umbi yang diplih oleh ahli UMNO, mereka perlu menunaikan tanggungjawab dengan memahami danyut nadi rakyat.

Jelasnya, ketua cawangan termasuk kepimpinan bahagian perlu lebih cakna dengan membantu mereka yang dilanda malapetaka, sakit dan sebagainya.

Mengenai program Ziarah Kasih Ramadan, Mohd Rafi berkata, program tersebut amat dekat di hati beliau kerana dapat memberikan ruang dan peluang untuk bertemu ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi bagi bermesra dan bertanyakan khabar terutamanya di bulan mulia ini.

“Kita faham tidak semua ahli UMNO berpeluang mengerjakan ibadah puasa kerana uzur, sakit dan sebagainya dan tidak semua berpeluang untuk meraikan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba dalam keadaan yang serba lengkap kerana faktor ekonomi, justeru UMNO Labuan turun padang membantu golongan ini dalam bentuk sumbangan kewangan dan keperluan makanan,” katanya.

Mohd Rafi berkata, dengan sedikit bantuan yang dihulurkan akan dapat meringankan beban mereka dan yang paling penting hubungan silaturrahim serta semangat kekeluargaan antara pemimpin bahagian,dan cawangan dapat dijalin erat.

“Sebenarnya program seperti ini perlu terus disemarakkan bukan sahaja pada musim-musim perayaan tapi pada masa yang sesuai, program ziarah rumah ke rumah ahli perlu dilaksanakan agar hubungan pemimpin dan parti kekal berterusan termasuklah masyarakat setempat,“ katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit