Dr Akmal Rai Kanak-Kanak Dari Keluarga Kurang Berkemampuan Jasin

MELAKA, 11 April – Seramai 207 kanak-kanak dari keluarga asnaf dan kurang berkemampuan dalam Parlimen Jasin diraikan dengan dibawa membeli-belah pakaian baru menjelang sambutan Aidilfitri.

Ketua UMNO Bahagian Jasin Dr Muhamad Akmal Saleh berkata program kali kedua anjuran UMNO Bahagian Jasin itu bagi memberi keceriaan kepada kanak-kanak berkenaan memilih pakaian baharu mengikut citarasa sendiri, untuk dipakai di pagi 1 Syawal.

“Kita mahu kanak-kanak ini berasa seronok dan melayan mereka seperti anak sendiri supaya dapat merasai kemeriahan Aidilfitri dengan memilih sendiri kelengkapan pakaian seperti songkok, baju Melayu dan sampin.

“Terima kasih juga kepada pihak penyumbang sama ada syarikat dan orang perseorangan yang turut membantu bagi menjayakan program ini dan kita boleh lihat wajah mereka sangat gembira apabila dapat pakaian seperti yang diinginkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata setiap penerima menerima sumbangan kelengkapan baju bernilai RM100 dan duit raya selain dibawa berbuka puasa.

Dalam pada itu beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri berkata pihaknya akan memastikan bekalan keperluan penguna seperti ayam, telur dan sebagainya ketika musim perayaan Aidilfitri mencukupi.

“Kita juga akan berbincang dengan jabatan dan agensi berkaitan secara terperinci mengenai perkara ini kerana ia merupakan mesyuarat pertama sejak mengangkat sumpah jawatan minggu lepas,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit