Program Imarah Ramadan: Lebih 500 Wanita UMNO Banjiri Dewan Tun Razak
KUALA LUMPUR, 7 April – Lebih 500 kepimpinan Wanita UMNO dari seluruh negara membanjiri Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia (WTC) dalam memeriahkan Program Imarah Ramadan anjuran Wanita UMNO Malaysia.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua ahli dan pemimpin akar umbi yang sudi hadir bagi memakmurkan majlis yang disertai dengan tadarus Al-Quran dan juga solat sunat tasbih.
“Terima kasih kepada semua Wanita UMNO dari seluruh pelusuk tanah air yang sudi melapangkan diri untuk menghadiri program ini dan semestinya bagi bertemu dengan para perwakilan Wanita lain.
“Mula-mula kita akan laksanakan solat sunat tasbih diikuti dengan tadarus Al-Quran. Sekiranya berkesempatan, insya-Allah kita akan mendengar tazkirah.
“Banyak yang kita akan pelajari dan insya-Allah sedikit sebanyak boleh dibawa balik serta boleh kongsikan bersama-sama dengan keluarga, jiran-jiran kita. Apa yang penting, terima kasih atas kehadiran semua dalam program anjuran Wanita UMNO Malaysia pada petang ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas sebelum majlis bermula.
Program Imarah Ramadan Wanita UMNO Malaysia dimulakan seawal jam 2.30 petang dengan ucapan aluan daripada Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad diikuti dengan sesi tadarus Al-Quran.
Sejurus selepas tadarus, majlis khatam Al-Quran akan diadakan dan program tersebut akan diakhiri dengan alunan selawat.
Pada jam 6.00 petang pula akan bermula majlis berbuka puasa bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan turut disertai oleh barisan exco Wanita UMNO Malaysia di Dewan Tun Razak 3. – UMNO Online