Penghargaan Kepada Wanita UMNO Seluruh Negara, Komited Dukung Semangat Kekeluargaan Parti

KUALA LUMPUR, 6 April – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meluahkan penghargaan dan berbesar hati dengan semangat jentera UMNO yang sentiasa mendukung parti keramat ini.

Katanya ini kerana perkara tersebut dapat dilihat apabila komitmen yang ditunjukkan mereka apabila menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan bagi memberi sokongan kepada kepimpinan tertinggi terutama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pada ketika ini melakukan jelajah tersebut.

“Saya dan sahabat-sahabat turun ke utara tanah air. Kami ke negeri Indera Kayangan dan kemudiannya ke negeri Jelapang Padi.

“Berkesempatan berbuka puasa bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Negeri Kedah yang telah diadakan di Masjid Al-A’la, Jitra, Kedah.

“Terima kasih buat kepimpinan UMNO Perlis dan Kedah empat peringkat. Wanita Perlis dan Kedah, ‘hampa’ memang sempoi! Insya-Allah, dipanjangkan usia, kita jumpa lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Majlis tersebut menjadi lokasi ke-10 daripada 13 negeri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang telah bermula pada 24 Mac 2023 bersamaan 2 Ramadan 1444H dengan lokasi pertama di Masjid Batu 8, Gombak Selangor.

Terdahulu menerusi hantaran berbeza, Ahli Parlimen Parit Sulong itu juga berkongsi suasana pada Majlis Santunan Kasih Ramadan yang berlangsung di di Masjid Al-Husna, Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur.

Dr Noraini dalam pada itu berharap ukhuwah dalam kalangan Wanita terjalin dengan lebih erat menerusi program-program yang dianjurkan parti.

“Semoga program-program sebegini menjadi asbab agar ukhwah sesama kita tetap terus utuh, insya-Allah.

“Saya berkesempatan berbuka puasa di ibu kota Kuala Lumpur pula menjadi lokasi kelapan bagi Majlis Santunan Kasih. Terima kasih Wanita UMNO Wilayah Persekutuan!” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.