Ahmad Zahid Ziarah Kubur Bekas Speaker Selangor Tan Sri Onn Ismail
PELABUHAN KLANG, 6 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menziarahi kubur bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Tan Sri Onn Ismail, 84, yang meninggal dunia malam tadi.
Ahmad Zahid tiba di Tanah Perkuburan Kampung Raja Uda di sini pada 3.31 petang dan berada kira-kira 30 minit di situ serta sempat menyertai bacaan tahlil.
Bercakap kepada pemberita sebelum beredar meninggalkan tanah perkuburan tersebut, Ahmad Zahid menyifatkan Allahyarham Onn seorang yang sangat baik dan disenangi ramai.
“Allahyarham adalah cikgu saya di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah (STAR) Klang pada 1971, apabila saya masuk ke Universiti Malaya (UM), beliau juga ke UM sebagai guru di Pusat Bahasa UM. Kami juga sama-sama aktif dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
“Saya juga sempat melawat Allahyarham ketika di hospital. Saya doakan semoga rohnya dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama hamba-hamba yang beriman,” katanya ringkas.
Onn menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Kampung Raja Uda pada jam 7.15 malam disebabkan sakit tua.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Speaker DUN Selangor selama tiga penggal dari 1995 hingga 2008, Pengerusi Tetap UMNO Malaysia dari 2004 hingga 2007, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa selama tiga penggal dari 1974 hingga 1982 dan sebagai ADUN Selat Klang selama tiga penggal dari 1986 hingga 1995. – BERNAMA