Keadilan Buat Bossku Demi Kestabilan Politik & Negara

MAHKAMAH Persekutuan pada Jumaat lalu telah membuat keputusan menolak permohonan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda yang dikenakan ke atas dirinya.

Sebagai rakyat Malaysia tentunya kita akur kepada undang-undang namun dalam masa yang sama amat kecewa kerana ruang dan peluang untuk Datuk Seri Najib mendapatkan pembelaan dan perbicaraan yang adil terus dinafikan.

Melihat kepada keputusan tersebut, tentunya ia akan mengundang kepada keadaan yang berlarutan berkaitan krisis dan polemik politik serta pentadbiran negara yang telah tercetus sejak 2018.

Ini kerana Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini terus teguh atas sokongan dan dukungan UMNO/Barisan Nasional (BN) sedangkan mantan Presiden UMNO merangkap mantan Pengerusi BN terus dinafikan dalam mendapat keadilan dalam perbicaraannya.

Jika dilihat daripada peringkat pertama pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib, ia adalah pendakwaan politik setelah pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan kemudiannya Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim yang semuanya dilaksana era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada 2018.

Seorang Hakim yang tiada merit pula dilantik untuk menghakiminya sedangkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan hakim ini antara individu yang terlibat secara langsung menubuhkan SRC suatu ketika dulu.

Sesungguhnya kita dalam UMNO/BN dan rakyat Malaysia bukanlah mahu kes ‘dibuang’ dan Datuk Seri Najib dibebaskan serta-merta tetapi menuntut keadilan yang seadil-adilnya dilaksana kepada Datuk Seri Najib berteraskan saluran perundangan yang telus dan luhur.

Sebagaimana kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Datuk Seri Najib adalah dibebas dan dilepaskan kerana Panel Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini mungkin tidak berlaku adil semasa ia mendengar dan menolak rayuan apabila tidak diwakili secara sah.

Sehubungan itu, saya atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan kepimpinan UMNO mencadangkan demi memastikan politik dan pentadbiran negara terus stabil dengan kerajaan boleh terus fokus memajukan negara, maka beberapa pendekatan dan keputusan serta-merta seperti berikut perlu dilaksana:

1. SPRM dan Pejabat Peguam Negara perlu membawa Hakim Nazlan kemuka pengadilan tanpa melalui protokol.

2. Ketua Hakim Negara perlu direhatkan sehingga Kes Datuk Seri Najib selesai sepenuhnya.

3. Mahkamah perlu membicarakan semula kes Datuk Seri Najib dan melantik seorang hakim yang benar-benar neutral bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini sebelum mana-mana pihak menggerakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan ketidakstabilan politik dalam pentadbiran negara.

Saya percaya YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri yang juga pernah berhadapan dan merasakan ketidakadilan dan kezaliman era Tun Dr Mahathir dahulu memahami apa yang berlaku kepada Datuk Seri Najib sekarang ini dan melihat kes ini secara dekat.

Akhir sekali, saya menyarankan marilah kita sebagai ahli parti terus bersolidariti bersama-sama Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan memberi kepercayaan kepada beliau untuk sama-sama mencari solusi serta memperjuangkan keadilan buat Datuk Seri Najib mantan Presiden UMNO Malaysia.


DATUK MOHD RAFI ALLI HASSAN
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Labuan

************************************

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.