FELCRA Lancar Beras Harga RM13 Sekampit Bagi 5KG
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyempurnakan majlis pelancaran itu berkata beras yang dijual RM10 pada harga promosi itu, 100 peratus dikeluarkan di estet padi negeri Perak.
“Pertama kali dalam sejarah FELCRA melancarkan beras ini, pada harga promosi ia dijual pada harga RM10, RM13 pada harga pasaran dan RM12.10 pada harga borong,” katanya pada Majlis Iftar dan Pelancaran Beras FELCRA Super Special Tempatan di Masjid Tuminah Hamidi di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi FELCRA Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Terdahulu dilaporkan FELCRA akan mengeluarkan ayam daging, beras dan minyak masak, bermula tahun ini.
Bagi pengeluaran beras, sawah diusahakan FELCRA mampu mengeluarkan sehingga 40,000 tan padi setahun untuk diproses menjadi beras dalam bungkusan lima kilogram.
Sebanyak 3.6 juta bungkusan beras lima kilogram disasar dapat dihasilkan setahun, dengan 500,000 komuniti FELCRA akan mendapat manfaat subsidi sebanyak 15 peratus, daripada harga jualan runcit.
Ketika ini, FELCRA mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 3,263 hektar di FELCRA Seberang Perak di Perak membabitkan 1,500 peserta.
Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut melancarkan Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan Yayasan Restu. – BERNAMA