Alunan Selawat Nabi Sambut Ketibaan Ahmad Zahid

BENTONG, 29 Mac – Alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. daripada 1,500 masyarakat setempat berkumandang di perkarangan Masjid Al-Falah Kampung Lebu di sini menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam meneruskan siri kelima selepas semalam di Kuala Nerus, Terengganu, hari ini Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO hadir ke Majlis Santunan Kasih Ramadan bagi peringkat Negeri Pahang yang disambut mesra Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merangkap Naib Presiden, pemimpin-pemimpin kerajaan dan politik serta masyarakat setempat.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Puteri Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Sharkar Shamsudin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

MKT turut hadir seperti Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Datuk Mohd Razlan Rafii dan Datuk Lokman Noor Adam, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Bentong dari Dap Young Syefura Othman.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata tugas pemimpin dan agensi kerajaan adalah menyantuni rakyat dan rakyat perlu berkeyakinan serta memberi kepercayaan kepada kerajaan semasa untuk terus mengurus tadbir.

Tambahnya juga, pemimpin kerajaan mesti menjalinkan hubungan yang erat dengan penjawat awam agar segala dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Selesai berucap, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Risda kepada beberapa masjid sekitar seperti Masjid Al-Falah Kampung Lebu, Masjid Al-Falahi Lurah Bilut dan Masjid Jamek Gugusan Mempaga.

Selain itu Ahmad Zahid turut menyampaikan kit peralatan ‘quick win’ KEMAS kepada sepuluh orang penerima bagi golongan sasaran menambah pendapatan dan seterusnya meningkatkan ekonomi keluarga.

Selain Pahang dan Terengganu, sebelum ini Ahmad Zahid hadir ke majlis yang sama di negeri Pulau Pinang, Melaka dan Selangor. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit