Lantikan Mereka Yang Tewas Dalam Pemilihan Parti Untuk Kukuhkan UMNO

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan melantik mereka yang tewas pada pemilihan parti itu untuk memegang jawatan tertentu, sebagai satu keterangkuman dalam usaha mengukuhkan UMNO.

“Yang menang, tak menang semua, yang kalah, tak kalah semua, maka keterangkuman ini saya lakukan demi kukuhkan parti yang di mata orang luar sedang berada dalam keadaan cacamarba.

“Keputusan dibuat di peringkat Bahagian, Pemuda, Wanita, Puteri dan nasional saya lihat satu gelombang baharu dan saya harus bersama mereka untuk membina kekuatan baharu UMNO, rapatkan saf pemimpin di setiap peringkat,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Batu 8 di Gombak Utara, dekat sini Jumaat.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO 2023-2026 yang pertama pada Rabu lepas memutuskan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dilantik sebagai MT UMNO (lantikan) dan memegang jawatan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Turut diumumkan pelantikan Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO.

Shahrizat tewas dalam persaingan merebut jawatan Ketua Wanita manakala Mahdzir dan Reezal Merican kalah dalam pertandingan jawatan Naib Presiden.

Pemilihan UMNO yang selesai diadakan Sabtu lepas menyaksikan Datuk Dr Noraini Ahmad mempertahan jawatan Ketua Wanita manakala tiga jawatan Naib Presiden dimenangi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.- BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit