Pelbagai Citra Ahli MKT Mantapkan UMNO ‘Memeta’ Hala Tuju Baharu

KEPUTUSAN Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 berakhir Sabtu lalu dilihat begitu menarik, terutama jika meneliti pemimpin memenangi tiga jawatan Naib Presiden dan 25 jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Gandingan tiga Naib Presiden UMNO yang baharu juga amat unik. Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempunyai aura politik agak berbeza antara satu sama lain.

Begitu juga 54 muka baharu ketua bahagian merangkumi 30 peratus daripada keseluruhan jawatan itu adalah keputusan agak menakjubkan kerana kebanyakan yang menang adalah calon muda yang berjaya menewaskan penyandang, majoritinya lebih veteran dan berpengalaman.

Contoh klasik adalah UMNO Bahagian Paya Lebar, Pahang menyaksikan Datuk Shahar Abdullah menewaskan calon veteran yang juga bekas ketua bahagian itu, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman.

Tidak keterlaluan jika diandaikan cita rasa akar umbi sebenarnya mahukan kepelbagaian dalam hal berkait kepemimpinan parti jika ditinjau kepada keputusan pemilihan Naib Presiden, ketua bahagian dan juga sayap parti.

Kepelbagaian citra ini membawa maksud bukan hanya satu kumpulan menguasai jawatan tertentu. Ia bermaksud tidak boleh diandaikan hanya calon berpihak kepada Presiden mendapat tempat dipilih ke jawatan penting parti.

Namun, agak sukar untuk menilai keputusan pemilihan MKT kerana agak bercampur baur dari segi cita rasa akar umbi. Hampir semua 25 calon yang berjaya dipilih mengisi jawatan itu boleh dianggap sebagai veteran kerana mereka dikenali pada peringkat politik nasional.

Antara 10 calon memperoleh undi terbanyak adalah Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Kelantan dianggap anomali tetapi memberangsangkan kerana beliau sering bersuara menongkah arus dengan kepemimpinan tertinggi UMNO sebelum ini.

Begitu juga dengan pemilihan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Walaupun beliau dianggap orang baharu dalam UMNO, pemilihannya menggambarkan pengalaman teknokrat beliau amat diperlukan dan diterjemahkan menerusi undi perwakilan.

Begitu juga dengan Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang berjaya menyusup ke dalam kategori undi 10 calon tertinggi, ia adalah manifestasi faktor kepelbagaian ditagih akar umbi UMNO.

Hakikatnya ialah Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang memperoleh undi tertinggi iaitu 69,494 undi, tanggungjawabnya tetap serupa dengan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang memperoleh 35,901 undi, terendah dalam kalangan 25 calon menang jawatan MKT.

MKT dianggap jawatankuasa paling berpengaruh selepas Perhimpunan Agung UMNO kerana ahlinya mampu menentukan hala tuju parti politik itu dalam melaksanakan operasinya.

Umpama dalam pemilihan calon sama ada mewakili Dewan Rakyat dan DUN, ia ditentukan MKT, termasuk taraf seseorang ahli sama ada perlu digantung atau dipecat.

Rancang strategi politik UMNO

Menariknya, komposisi MKT yang dipilih akar umbi ini kehadiran individu seperti Isham Jalil, Datuk Lokman Adam dan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi serta ditambah tiga Naib Presiden bersama pemimpin ketua sayap UMNO, maka sudah pasti MKT akan menjadi instrumen lebih efektif merencanakan strategi UMNO.

Persepsi kepelbagaian MKT sebagai jawatankuasa pembuat dasar adalah amat kritikal disampaikan dengan naratif yang betul kerana bakal menentukan kejayaan UMNO dan juga Pakatan Harapan (PH) dalam wadah Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) lama lagi.

Sokongan padu terhadap Kerajaan Perpaduan sudah tidak syak lagi akan menjadi lebih kukuh kerana hampir semua ahli MKT bersama kepemimpinan tertinggi UMNO, khususnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong kerajaan sedia ada.

Stabilnya Kerajaan Perpaduan menerusi kukuhnya kembali UMNO akan memberi ruang lebih luas kepada Jemaah Menteri menumpukan perhatian kepada tugas hakiki mereka mentadbir negara.

Namun, apa yang lebih penting adalah kepelbagaian citra, ciri-ciri dan latar belakang ahli MKT ini mampu diterjemahkan sebagai UMNO lebih stabil dengan percaturan dalaman agak minimum.

Salah satu sebab utama kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah percakaran dalaman dan sabotaj membuatkan pengundi berasa mual dengan keadaan parti.

Kepelbagaian citra ahli MKT kali ini mampu menjadikan UMNO sebagai parti lebih kontemporari iaitu ahlinya mampu berhujah bersandarkan fakta dan tidak terasing dengan isu semasa.

Strategi mendekati kumpulan berada di luar UMNO amat penting kerana kumpulan berbeza memerlukan pendekatan berbeza. Naratif berbicara dengan anak muda tidak sama apabila berinteraksi dengan mereka yang lebih berumur.

Salah satu kelemahan ketara UMNO ialah mereka kurang berupaya mencernakan strategi efektif berbanding dengan parti politik lain. Antara sebab utama ialah UMNO tidak mempunyai satu kumpulan khas ala badan pemikir menggubal strategi perang saraf gerak saraf.

DAP umpamanya amat efisien dalam hal ini dan sebab itu sering dilihat lebih proaktif dalam menghadapi sesuatu isu meruncing dan juga kelihatan lebih bijak serta terancang menyerang seteru politik mereka.

Sebab itu kepelbagaian citra ahli MKT baharu dipilih ini bukan sahaja berkisar dalam kalangan 25 terpilih akar umbi, tetapi merangkumi gabungan kepemimpinan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden berserta Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri, satu hierarki yang tidak wujud dalam parti lain.

Justeru, UMNO perlu menggunakan kepelbagaian citra ini sebaik mungkin untuk memeta hala tuju baharu parti pasca PRU15 dan menjelang PRN serta menghadapi PRU16 kerana 160,000 ahli yang mengundi sudah membuat keputusan mereka.

Apa saja keputusan bakal keluar dari MKT akan dinilai bukan sahaja akar umbi UMNO tetapi juga mereka yang berada di luar parti terutama kelompok Melayu/Islam. Mereka ini mahukan UMNO yang tidak hanya memperjuangkan kebajikan ahli, tetapi juga untuk semua rakyat Malaysia.

Komposisi MKT yang dipilih akar UMNO kali ini adalah peluang terbaik UMNO untuk menghindar persepsi negatif ‘rakus, gila kuasa dan korupsi’ yang bukan sahaja merugikan UMNO, tetapi juga negara.

Oleh: Azmi Hassan
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara NASR

Sumber: bharian.com.my

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit