Teruskan Kerjasama Sebaiknya, UMNO Parit Buntar Teguh Dalam Perjuangan – Mua’ammar Ghadafi
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Mua’ammar Ghadafi Jamal berharap kerjasama yang terbentuk akan diteruskan sebaiknya di bahagian berkenaan dalam usaha memastikan parti terus mendapat kepercayaan rakyat.
Beliau yang menang pada pemilihan parti Sabtu lalu bagi jawatan terbabit menegaskan dalam apa jua keadaan, yang utama adalah untuk memastikan UMNO terus melangkah ke depan dalam satu pasukan yang jitu dan mantap apatah lagi untuk berdepan cabaran.
“Syukur Alhamdulillah… pemilihan UMNO Bahagian Part Buntar telah pun selesai dengan baiknya dan terima kasih kepada para perwakilan yang telah sama-sama menyemarakkan proses demokrasi dalam UMNO.
“Sekalung penghargaan kepada mereka yang menjayakan pemilihan serta mesyuarat UMNO Parit Buntar. Kita dalam satu pasukan dan marilah sama-sama bergerak ke depan untuk melonjakkan keyakinan rakyat terhadap parti hari ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Beliau seterusnya mengajak ahli dan seluruh pimpinan bahagian berkenaan untuk sama-sama mengembalikan kegemilangan UMNO di mata rakyat dan inilah masanya untuk bergerak ke depan dalam satu nawaitu dan satu matlamat.
“Mohon doa dan kerjasama semua untuk kembalikan kegemilangan UMNO di mata dan hati rakyat. Kita satu pasukan… kita satu barisan yang sama… kita satu muafakat untuk melihat UMNO terus cemerlang khususnya berdepan cabaran masa hadapan.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam proses demokrasi UMNO. Marilah kita sama-sama bergerak ke depan dalam usaha menyemarakkan perjuangan UMNO ke setiap peringkat, insya-Allah,” ujarnya lagi. – UMNO Online