Kerajaan Perpaduan Diktator: Mahathir Mahu Kembali Relevan – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang menyatakan kerajaan hari ini sebuah kerajaan ‘diktator’ dilihat sebagai untuk merelevankan dirinya semula dalam arena politik.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata, hanya rakyat yang membesar pada zaman pentadbiran beliau akan dapat menilai sendiri apa yang berlaku.

“Tun Dr Mahathir semalam cakap kerajaan kita diktator. Saya membesar zaman Mahathir jadi Perdana Menteri ke-4 jadi saya tahu bagaimana corak pentadbiran beliau.

“Apabila dia cakap kerajaan hari ini diktator, saya rasa mungkin dia cakap pasal diri dia sendiri sebab Mahathir ada ‘that kind of tendency’. Apabila orang kata dia rasuah, dia pula cakap orang lain yang rasuah,” katanya menerusi video siaran langsung di laman Facebooknya.

Jelasnya, disebabkan kekangan teknologi zaman dahulu maka rakyat tidak mempunyai akses untuk mengetahui perkara sebenar mengenai sesuatu isu.

“Semalam dia cakap kerajaan tidak membenarkan rakyat bersuara dan kritik kerajaan. Tetapi itu yang dia lakukan dahulu semasa zaman 80-an dan 90-an. Media zaman dahulu bukan macam sekarang.

“Dulu zaman Mahathir tiada semua benda ni (media sosial) sebab itu dia boleh bertahan selama 22 tahun. Kalau dulu ada media sosial, saya rasa Mahathir tidak akan tahan selama itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Isham turut berpendapat bahawa Mahathir sentiasa mengawal media pada zaman pemerintahannya dan sesiapa yang mengkritik bakal dikenakan tindakan.

“Mahathir dulu kawal media dan siapa yang hidup serta membesar zaman dia akan tahu. Kita tidak boleh kritik apa-apa sebab boleh dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Tempoh hari semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 beliau kalah di Langkawi sampai hilang deposit di tempat sendiri. Saya rasa kenyataan beliau ini adalah untuk merelevankan beliau semula dalam politik,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerajaan diktator kerana menghalang teguran umum.

Beliau berkata demikian selepas program ‘Proklamasi Melayu’ menampilkan bekas perdana menteri itu yang dijadual semalam dibatalkan.

Mahathir mengkritik kerajaan kerana tidak membenarkan program itu berlangsung dan berkata, orang Melayu ada hak untuk berkumpul dan suara mereka didengari. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.