Abdul Rahman Yakin Perwakilan Aplikasi Pemilihan UMNO Ke Arah Depani PRU16

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yakin bahawa perubahan drastik dalam parti akan berlaku selepas musim pemilihan ini terutamanya dalam persediaan mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.

Jelasnya, gabungan muka baharu dan lama sudah semestinya akan membawa parti lebih keterhadapan serta bersatu membawa visi dan misi UMNO.

“Dari segi pemilihan (sayap) minggu lalu, ianya memperlihatkan kematangan kerana ada gabungan antara orang baharu dan lama.

“Dengan pemilihan kepimpinan baharu ini UMNO telah mengorak langkah lebih jauh ke hadapan dan ini merupakan sasaran kita. Selepas pemilihan ini kita hendaklah bersatu menggabung dan menggemblengkan tenaga di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai peneraju,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang menawarkan diri sebagai calon MKT dengan nombor 83 itu turut yakin bahawa para perwakilan akan memilih calon terbaik berdasarkan kehendak parti.

“Saya percaya perwakilan akan melihat dan meneliti siapakah calon-calon yang terbaik serta meletakkan gabungan antara muka baharu dan lama.

“Saya yakin bahawa perubahan akan berlaku. Mungkin akan ada banyak perkara yang kita boleh lontarkan selepas ini kepada pucuk pimpinan parti mengenai apakah hala tuju diidamkan menuju PRU ke-16.

“Ianya bukanlah satu perkara yang mudah. UMNO bukan lagi seperti dahulu dan kita perlu mencari kaedah untuk menambat hati para pengundi kembali,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut berharap agar pertandingan keluarga ini akan berlangsung secara sihat dan dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa UMNO masih relevan.

“Biarlah pertandingan ini berlangsung secara sihat. Kepada yang kalah, mesti meneruskan perjuangan dan jangan berpecah. Ini yang kita harapkan. UMNO itu mesti lebih relevan daripada sebelum ini.

“Pesanan kepada para perwakilan, saya sangat yakin bahawa media sosial sangat mudah diakses dan saya turut yakin mereka akan memilih daripada pemimpin berwibawa dalam menentukan masa depan parti.

“Pilihlah yang terbaik dan teliti supaya UMNO kembali kukuh. Corak kepimpinan baharu akan memberikan perubahan kepada persepsi rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit