Mohamad Alamin Tekad Perhebat UMNO Kembali, Bawa Suara Akar Umbi Sabah

 

KOTA KINABALU, 14 Mac – Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yakin bahawa UMNO berada dalam naratif yang betul dan pendekatan yang tepat pada masa kini untuk perhebatkan kembali parti.

Katanya, berdasarkan sambutan yang dianggap begitu luar biasa terhadap Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 yang bukan hanya hanya di peringkat nasional tetapi juga di peringkat bahagian-bahagian membanggakan maka terbukti UMNO masih relevan.

“Cukup ramai yang menyertai pemilihan pada kali ini yang memberi gambaran satu refleksi cukup jelas kepada parti kita iaitu kedudukan terkini parti kita masih lagi relevan dan masih lagi diminati di peringkat akar umbi.

“Saya cukup yakin dan optimis bahawa rakyat akan kembali menyokong kepada UMNO dan parti ini akan menjadi terus relevan dan dominan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kimanis turut menawarkan diri sebagai calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dengan nombor calon 67 atas tekad untuk berkhidmat dan menyalurkan suara rakyat Sabah di peringkat pusat.

“Kepada semua perwakilan saya mengharapkan pilihlah calon yang benar-benar berkaliber dan calon yang benar-benar bersetia untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Kita tidak mahu calon yang bila masa pemilihan baru muncul… ini saya tidak bercakap kepada siapa-siapa tapi ini berlaku di banyak bahagian. Jadi kita minta pilih calon-calon yang benar-benar bersedia untuk memberi khidmat yang terbaik dengan niat untuk memperkukuh dan memartabatkan semula parti keramat ini di peringkat akar umbi sampailah di peringkat nasional.

“Saya juga menawarkan diri sebagai calon ahli MKT bernombor 67, jadi kalau yakin maka pilihlah saya sejajar dengan harapan yang insya-Allah saya pastikan bersedia untuk berkhidmat kepada parti sekiranya diberi mandat.”

Dalam hal ini beliau mengulas berkaitan ucapan Presiden UMNO yang mahukan agar suara rakyat Sabah turut di bawa ke peringkat pusat.

“Sejajar dengan harapan Presiden semasa ucapan mahu suara dari wakil Sabah dan saya bersedia untuk itu.

“Kita faham ujian semakin getir, masa lalu, masa kini dan masa akan datang juga… jadi perlu ada naratif yang cukup jelas untuk memberikan keyakinan kepada akar umbi dan UMNO Sabah.

“Ramai tak tahu UMNO Sabah telah mempunyai kuasa autonomi yang telah diperturunkan oleh UMNO pusat melalui pindaan Perlembagaan pada tahun 2020. Ramai yang tak tahu bahawa UMNO Sabah mempunyai kuasa yang cukup besar tetapi belum sempat diterjemahkan secara holistik maka inilah yang perlu kita lakukan supaya kita dapat memperkukuh semula kedudukan UMNO Sabah.”

Tegasnya tekad ini adalah memberi makna untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang dianggap kuat sebagaimana sebelum ini.

“Kita atas nama Sabah harus lihat sebagai sebuah entiti yang benar-benar di kedudukan tersendiri sejajar kuasa ekonomi yang telah pun diperturunkan oleh UMNO Malaysia.

“Suara UMNO Sabah perlu diangkat, kita akan martabatkan, terjemahkan supaya menjadi sebuah parti yang benar-benar relevan Negeri di Bawah Bayu ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.