Melaka Sasar Pendapatan Sektor Pelancongan Cecah RM23.4 Bilion Sempena TMM2024
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata menerusi penganjuran TMM 2024 juga tempoh pelancong bermalam di negeri itu juga dijangka akan meningkat kepada empat malam.
Beliau berkata penganjuran TMM bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi negeri supaya lebih mampan bagi manfaat semua pemain industri pelancongan dan rakyat negeri itu.
“Kami mahu menjadikan negeri ini antara destinasi pilihan pelancong domestik dan luar negara selain memperkenalkan produk pelancongan baharu Melaka.
“Kami juga mahu menggalakkan komuniti setempat dalam industri pelancongan seperti inap desa dan kraftangan tempatan di samping menyumbang peningkatan perusahaan kecil dan sederhana,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) yang ingin mengetahui tentang persiapan kerajaan negeri sempena TMM 2024 pada persidangan DUN di sini hari ini.
Beliau berkata selain itu kerajaan negeri memperkenalkan slogan baharu untuk mempromosikan Melaka sempena TMM 2024 iaitu “Mana Lagi? Melakalah” (Where Else? Melaka Of Course) dalam usaha menarik lebih banyak pelancong ke negeri itu.
Katanya selaras dengan amalan 3M iaitu mesra, mudah dan mampu, Melaka terus menjadi destinasi persinggahan pelancong pada setiap hujung minggu.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Jailani berkata Sekretariat TMM 2024 yang diketuai Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga ditubuhkan bagi memastikan kelancaran persiapan TMM 2024 dan pencapaian yang ditetapkan sempena penganjuran inisiatif itu dapat dicapai.
Beliau berkata di bawah sekretariat itu, beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Pembangunan Produk Baharu dan Naik Taraf Produk Pelancongan, Jawatankuasa Kempen Promosi, Publisiti dan Pembangunan Pakej Pelancongan serta Jawatankuasa Fiesta dan Acara Pelancongan turut ditubuhkan.
Katanya kursus “Think Tourism and Act Tourism” juga akan dianjurkan melibatkan penyertaan barisan hadapan seperti pemandu pelancong agar bersedia menerima kehadiran pelancong sempena TMM 2024.
“Prapelancaran TMM 2024 peringkat antarabangsa akan diadakan pada Jun tahun ini manakala prapelancaran TMM 2024 peringkat regional akan diadakan pada 26 hingga 28 Mei depan di Surabaya, Indonesia.
“Prapelancaran TMM 2024 peringkat negeri Melaka akan diadakan pada 31 Dis tahun ini di Taman Seribu Bunga Ayer Keroh sempena Melaka Fiesta 2023,” katanya. – BERNAMA