Hairi Beri Komitmen Penuhi Mandat Yang Diberikan Sebaiknya

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Mohd Hairi Mad Shah memberi komitmen akan terus berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan segala perancangan untuk kepentingan parti akan tercapai.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu, mandat yang diberikan kepadanya itu amat dihargai dan beliau akan terus berusaha untuk menyampaikan, melaksanakan dan apa juga yang termampu sepenuh jiwa raganya untuk diberikan kepada Pergerakan Pemuda UMNO dan parti keramat ini.

“Saya yakin dan percaya dengan kepercayaan serta mandat yang telah diberikan ini, dan dengan segala usaha yang bakal dilakukan mudahan-mudahan dengan Izin Allah, marilah kita bersama-sama berdoa akan dipermudahkan segalanya.

“Yang menang, bukan menang semua dan yang kalah, tidak kalah semua. Sebagaimana yang dituntut di dalam agama kita bahawa Islam membentuk kita supaya menjadi umat yang yang bersatu dan bukan sahaja beriman dengan tuhan yang satu, sebarang bentuk perpecahan hendaklah kita tangani dengan sebaiknya.

“Dan janganlah kamu bersengketa, kerana dengan persengketaan akan menyebabkan kamu hilang kekuatan kamu.” (Surah Al-Anfal, ayat 46),” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Tan Sri Shahrir Samad mengumumkan keputusan rasmi bagi Ahli Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia.

Seterusnya, Hairi yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan Pemuda UMNO di seluruh negara yang telah memberikan kepercayaan kepadanya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

“Ironinya, genap setahun selepas saya diumumkan memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sebagai wakil rakyat tahun lalu, hari ini secara rasminya saya diumumkan sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.

Begitu juga ucapan terima kasih kepada seluruh perwakilan yang memberi kepercayaan kepada gandingannya iaitu Dr Muhammad Akmal Saleh selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang mampu memberikan kehamonian serta perubahan buat sayap parti itu. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit