Bersama Teruskan Legasi Perjuangan, Angkat Martabat UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang baharu, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie meluahkan penghargaan dengan kepercayaan diberikan kepada beliau bagi memegang tampuk barisan kepimpinan Pemuda.

Katanya, amanah tersebut akan dibawa beliau dengan sebaiknya bagi berterusan memperkasa perjuangan parti keramat ini.

“Pada 11 Mac 2023 kesemua Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara telah menjalankan tanggungjawab membuat pilihan dalam memilih barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2023-2026.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk bagi merakamkan jutaan penghargaan kepada semua perwakilan yang telah memberikan mandat kepada saya untuk sama-sama berada di dalam barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di dalam penggal ini. Terima kasih atas kepercayaan untuk saya berada di dalam kedudukan kesembilan pada sesi Pemilihan kali ini.

“Insya-Allah, kepercayaan yang diberikan kepada saya ini akan diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja dan komitmen yang tinggi dalam usaha meneruskan legasi mengangkat martabat perjuangan Pemuda UMNO di seluruh Negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu mengharapkan kepimpinan baharu UMNO yang lain pada sesi ini untuk terus diberikan panduan oleh Allah swt bagi melaksanakan agenda terbaik kepada rakyat dan negara.

“Saya mendoakan agar kita semua sentiasa diberi taufik dan hidayah di dalam perjuangan mengangkat martabat agama, bangsa dan tanah air. Hanya kepada Allah kita berserah,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang lagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Nur Aizat Noor Azam berjanji akan terus memainkan peranan yang lebih baik di samping menambahbaik dari apa jua kelemahan dan kekurangan sebelum ini.
“Saya akui perjalanan kempen ini merupakan kempen yang cukup mencabar, tetapi saya terharu dengan kepercayaan yang terus diberikan.
“Perjuangan masih panjang. Perjuangan ini memerlukan fokus, pengorbanan serta komitmen yang luar biasa. Perjuangan ini memerlukan pembaharuan demi memastikan parti UMNO dapat kembali diterima anak muda,” kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok itu di dalam satu hantaran di platform media sosial yang sama. UMNO Online
Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit