Muzafar Iltizam Perkukuhkan Parti Jika Diberi Ruang Dan Peluang

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Azam untuk memastikan UMNO terus kekal relevan di hati rakyat menjadi sebab utama calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Muzafar Ali Khan Mohd Sidek menyertai Pemilihan UMNO kali ini.

Menurut pemegang nombor calon 68 itu, UMNO hari ini menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dan parti katanya perlu diperkukuhkan kembali bagi memastikan UMNO terus kekal menjadi parti nombor satu pilihan rakyat di negara ini.

“Ketika UMNO dilanda badai sehingga kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 sebelum ini, saya tetap setia bergerak dan berjuang di peringkat akar umbi untuk memastikan UMNO kembali mendapat sokongan rakyat. Tidak terlintas dalam fikiran untuk melompat ke parti lain, biarpun UMNO tidak lagi menjadi kerajaan ketika itu, kerana saya tahu perjuangan UMNO tidak ada galang gantinya.

“Walaupun pelbagai tohmahan dan kritikan yang datang daripada pelbagai pihak terhadap UMNO, namun ia tidak dapat menyangkal jasa dan perjuangan UMNO selama ini dalam menegakkan syiar agama, memartabatkan bangsa dan mendaulatkan tanah air.

“Justeru, pada pemilihan kali ini saya tergerak untuk bertanding, mudah-mudahan saya diberi ruang dan peluang untuk sama-sama menabur bakti bagi memperkukuhkan parti pada masa yang akan datang,” tambah Ketua UMNO Cawangan Jalan Sultan Ismail Bahagian Bukit Bintang itu kepada UMNO Online.

Muzafar yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Bintang pada penggal lepas memilih untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang dan juga Ahli MKT pada pemilihan kali ini.

Sehubungan itu, beliau berharap agar diberi ruang dan peluang untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha untuk menjadikan parti terus segar dan kekal relevan di mata rakyat di negara ini.

“Insya-Allah, sekiranya diberi ruang dan peluang saya akan berkhidmat kepada parti dengan sehabis baik bagi memastikan UMNO terus kekal dan kukuh dalam persada politik tanahair.

“Sudah tentu perjuangan kali ini bukan mudah. Namun saya yakin sekiranya pemimpin muda UMNO diberi peluang dalam pemilihan kali ini, kita akan memastikan UMNO kembali menjadi pilihan nombor satu rakyat dengan dasar meneruskan perjuangan membela rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit