Pilih Pemimpin Yang Punya Ketaatan Perjuangkan UMNO, Mampu Bawa Suara Rakyat – Bung Moktar

 

KOTA KINABALU, 10 Mac – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan anggota perwakilan agar memilih pemimpin yang benar-benar mempunyai ketaatan dalam memperjuangkan parti.

Katanya, para perwakilan yang bakal memilih barisan kepimpinan sama ada di peringkat sayap parti atau bahagian pusat perlulah memilih bersandarkan kepada mereka yang benar-benar boleh mewakili suara rakyat.

“Saya melihat bukan saya di peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahkan di peringkat kebangsaan UMNO perlu melahirkan pemimpin-pemimpin bukan sahaja berani bersuara tetapi berani untuk menegakkan kebenaran dan menyatakan sesuatu malah yang penting kriteria utama adalah mereka ada ketaatan dan memperjuangkan parti.

“Saya berpesan kepada semua perwakilan supaya memilih bukan emosi, bukan atas dasar kawan ataupun sahabat tapi pilihlah pemimpin yang benar-benar boleh mewakili dan menyuarakan suara-suara rakyat dan suara parti.

“Sebab ini penting untuk UMNO berketrampilan dengan wajah yang baharu, dengan usaha yang baharu, dengan perdekatan yang baharu sebab politik pada hari ini berbeza dengan 15 dan 20 tahun yang lalu,” katanya kepada UMNO Online.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut mencalonkan diri bagi mempertahankan jawatan terbabit dengan nombor calon 31 bagi pemilihan UMNO peringkat pusat.

Terdahulu beliau mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan tanpa sebarang pertandingan.

Ujar Bung Moktar, UMNO memerlukan pemimpin-pemimpin yang bukan hanya orang muda dan bukan orang lama atau gabungan tapi harus tahu matlamat perjuangan parti itu sendiri.

“Perjuangan kita pertama membebaskan negara kita daripada masalah-masalah yang kita hadapi dari segi ekonomi, pembangunan dan sebagainya, juga merialisasikan perjuangan parti untuk memastikan kestabilan kaum itu sendiri, memberi keutamaan kepada agama Islam, perpaduan dan sebagainya.”

Tegasnya, UMNO ini penting untuk dilihat sebagai keutamaan dalam perjuangan.

“Jangan tanya kenapa kita jatuh dan kenapa kita kalah tapi rancang sesuatu untuk UMNO bangkit semula, ini memang lumrah hidup manusia lumrah dalam politik jatuh bangun sebuah politik itu memang begitu, kerana UMNO telah melalui berbagai-bagai dugaan dan cabaran.

“Cabaran itu telah kita lalui pertama PRU14 UMNO menjadi pembangkang, selepas 22 bulan UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan dan kemudian UMNO jadi Perdana Menteri.”

Namun begitu katanya, pada PRU15 UMNO tinggal 26 kerusi tetapi UMNO juga menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan ini dan menteri-menteri UMNO telah memainkan peranan yang terlalu penting dalam mengurus pentadbiran negara.

“Saya yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti perjuangan yang keramat yang ada berkat dia.

“Perlu kita terjemahkan UMNO itu sendiri kepada rakyat dan sudah tentu kita perlukan pemimpin-pemimpin yang mempunyai komitmen yang tinggi untuk kebangkitan UMNO semula, untuk kebaikan politik negara dan juga agama dan bangsa,” katanya lagi.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit