Buat Pilihan Tepat Bentuk Pasukan Jadikan UMNO Lebih Kuat – Wan Rosdy

 

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Ahli-ahli UMNO terutamanya perwakilan disaran buat pilihan yang baik dan tepat dalam Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 agar UMNO kembali sebagai sebuah pasukan yang lebih kuat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa perlunya kebersamaan dalam UMNO untuk memudahkan pentadbiran, pengurusan dan perancangan bagi menjadikan parti ini lebih kuat.

“Harapan saya adalah melihat UMNO bangkit kembali dan kedua melihat kebersamaan iaitu dalam UMNO duduk dalam satu pasukan, bekerja sepasukan tanpa ada masalah dalaman yang akan menjadikan parti ini lebih disegani maknanya bergerak dalam satu kumpulan.

“Sebelum ini saya percaya ramai yang dapat lihat walaupun tidak jelas namun ramai yang dapat rasakan seakan ada ketidakbersamaan wujud dalam parti maka kali ini kita mesti laksanakan kepimpinan yang lebih kemas, lebih kukuh, lebih tersusun dan yang lebih penting adalah bergerak sebagai satu pasukan sebab kita nak bangkit kembali,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pemilihan kali in, Wan Rosdy turut menawarkan diri menjadi calon nombor lima bagi jawatan Naib Presiden UMNO.

Selari dengan itu, beliau menggesa perwakilan agar membuat pilihan yang tepat dan terbaik.

“Perwakilan buatlah pilihan yang tepat, pilihan yang bijak dan melihat kepada mereka yang menawarkan diri untuk bertanding iaitu adakah setia kepada parti, masa susah bersama dengan parti dan yang lebih penting adalah sumbangan kepada parti, negeri dan negara.

“Nilai sendiri berdasarkan ‘track record’ yang telah ditunjukkan. Ini kerana ‘track recod’ ini tidak akan dapat dinafikan iaitu pencapaian yang telah dibuat. Pemimpin yang menawarkan diri ini semuanya ada kejayaan dan pencapaian malah mereka ada impian dan harapan untuk membantu mengkukuhkan parti.”

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang telah bersama-sama dalam Majlis Pengenalan calon-calon pemilihan UMNO peringkat pusat yang telah diadakan di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah dan Selangor.

Justeru katanya, Presiden juga dalam ucapannya menekankan untuk perwakilan memilih yang terbaik sebagai barisan kepimpinan parti.

“Presiden menekankan bahawa pilih yang terbaik antara yang terbaik, memastikan supaya yang bertanding mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan UMNO.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit