Bersama Bentuk Pasukan UMNO Yang Mantap, Kukuhkan Kerajaan – Shahaniza

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ketua UMNO Bahagian Maran Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyeru semua ahli dapat berganding bahu bersama kepimpinan tertinggi parti bagi membentuk satu pasukan yang kuat.

Katanya, kesepaduan parti amat mustahak untuk kepentingan UMNO sendiri selain mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang didukung hari ini.

“Kalau kita tidak mempunyai sebuah parti yang kuat bagaimana kita dapat ‘deal’ ataupun mengekalkan kedudukan kita dalam kerajaan hari ini. Kerajaan hari ini adalah Kerajaan Perpaduan yang bersandarkan kepada parti-parti, membentuk sebuah kerajaan.

“Kalau parti kita tidak kuat, orang tidak mahu dengan kita. Kita perlu mengenepikan perbezaan. Saya rasa, kita pun dah muhasabah diri dan kenal pasti apa kelemahan kita.

“Jadi, inilah masanya untuk kita membentuk satu pasukan baharu bersama-sama presiden dan timbalan presiden bagi menguatkan lagi parti daripada sebelum ini,” ujar bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang itu kepada UMNO Online baru-baru ini.

Shahaniza yang turut menawarkan diri bagi mengisi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi penggal 2023-2026 seterusnya berkata, kepelbagaian latar belakang calon yang bertanding merupakan satu kelebihan kepada parti.

“Saya tengok ada gabungan pemimpin lama, profesional, wanita dan juga orang muda. Saya harap para perwakilan kali ini melihat untuk membentuk satu pasukan yang lengkap dan terdiri daripada pelbagai latar belakang, kepakaran untuk parti kita.

“Saya rasa, penilaian tentang mereka yang menawarkan diri ini perlu dibuat dengan lebih berhati-hati seperti kita mahu membentuk sebuah pasukan bola sepak. Takkan semua orang nak jadi ‘striker’ sahaja. Memerlukan mereka yang duduk di posisi masing-masing,” kata pemilik nombor calon 50 itu.

Pada Pemilihan UMNO 2023 ini seramai 95 calon menawarkan diri bertanding bagi jawatan MKT.

Daripada jumlah tersebut, hanya tujuh calon mewakili golongan wanita dan Shahaniza berharap perwakilan dapat memberi peluang kepada ketujuh-tujuh calon itu bagi mengisi jawatan MKT.

“Apa pun, calon daripada wanita hanya ada tujuh orang. Kalau nak ikut kuota 30 peratus, perlu ada lapan.

“Jadi saya berharap agar para perwakilan dapat memilih ketujuh-tujuh calon wanita ini untuk mengukuhkan lagi parti. Bukan kita hendak menyaingi kaum lelaki tetapi wanita ini adalah pelengkap kepada parti kita ini,” katanya.

Selain Shahaniza, turut bertanding adalah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Rosni Sohar, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Zahida Zarik Khan, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Julie Sabran.

Mengulas mengenai majlis pengenalan calon yang diadakan di setiap negeri, Shahaniza berkata ia satu usaha yang baik dan berlangsung dengan penuh semangat kekeluargaan.

“Semua (calon) menampilkan kelebihan, kesungguhan masing-masing untuk membantu parti dalam mengembalikan kekuatan parti dan membantu pimpinan teratas menerajui pimpinan baharu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit