Pemilihan Bukti UMNO Angkat Nilai Demokrasi Serta Peremajaan Parti – Lassim

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Lassim Burhan berpandangan Pemilihan UMNO telah membuktikan bahawa parti ini mengangkat nilai demokrasi serta peremajaan bagi masa hadapan.

Beliau yang menawarkan diri sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berkata, perkara ini terbukti apabila golongan muda termasuk muka baharu diraikan sebagai calon.

“Ini proses demokrasi dalam parti yang pertamanya bagi calon-calon muda khususnya sebagai mana saya sendiri.

“Kita melihat peremajaan dan demokrasi itu berlangsung pada UMNO cuma pemerkasaan itu retorik sekiranya ia tidak bermula dengan diri kita sendri.

“Sebab itu saya sebagai calon muda memberikan khidmat dan tawaran segar yang boleh membawa idea baharu bagi membantu parti khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 nanti,” kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading itu ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Lassim dalam pada itu, meluahkan kesyukuran apabila proses cabutan undi telah dilaksanakan dengan lancar serta harmoni dalam kalangan calon yang bertanding.

“Alhamdulillah sudah selesai cabutan nombor bagi calon-calon yang menawarkan diri dalam pemilihan parti kita pada kali ini dan mengambil nombor dalam suasana yang harmoni.

“Saya merasakan calon-calon semuanya bersiap sedia menawarkan diri dalam keadaan yang hari ini kita tahu parti kita memerlukan lebih ramai pemimpin-pemimpin yang tampil untuk memberikan kesegaran kepada parti,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit