Keputusan Dua Jawatan Tertinggi Tidak Dipertandingkan Jelas Tidak Langgar Peraturan, Perlembagaan Parti

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Keputusan agar dua jawatan tertinggi UMNO iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada sesi pemilihan kali ini jelas tidak melanggar sebarang peraturan dan perlembagaan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini bukan kali pertama dua jawatan tertinggi tersebut tidak dipertandingkan dan keputusan tersebut telah mencapai kata sepakat para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Januari lalu.

“Terima kasih atas kenyataan ini. Saya sudah jelaskan yang tiada sebarang pelanggaran kepada peraturan dan perlembagaan UMNO berhubung usul PAU 2022.

“Ini bukan kali pertama jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Maka kita terus melangkah ke hadapan untuk mendekati dan membantu rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Selasa media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO mengenai usul tambahan tersebut dan memberi pengecualian berdasarkan Seksyen 70 Akta 832.

Usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO tahun ini diluluskan semasa PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 14 Januari lepas.

Ahad lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengesahkan usul berkenaan membuktikan keabsahan keputusan dibuat pada PAU 2022 seterusnya menamatkan polemik mengenainya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit