Masa Depan Parti Bakal Dicorak Oleh Barisan Kepimpinan Dipilih

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Masa depan UMNO dalam arena politik bakal dicorakkan oleh barisan kepimpinan baharu yang akan dipilih pada musim pemilihan ini.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, ramai calon yang menawarkan diri sepanjang musim Pemilihan UMNO 2023 ini membawa niat yang ikhlas dan murni untuk membantu parti.

“UMNO kini bukan berada dalam keadaan terkuat seperti sebelumnya. Justeru, lebih ramai kali ini yang bertanding membawa niat yang ikhlas dan harapan yang murni demi masa depan parti.

“Ada calon yang bertanding kerana merasakan telah tiba masanya pendekatan UMNO selama ini perlu ditambah baik. Ada juga yang bertanding disebabkan agenda tertentu atas faktor peribadi mahupun yang lebih bersifat strategik demi parti.

“Tidak dinafikan, dengan wajah-wajah baharu ini, nada dan langkah UMNO pasca Pemilihan akan banyak bergantung kepada calon-calon yang dipilih,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Anis Anwar turut berpendapat bahawa UMNO akan masih kekal relevan sekiranya mereka masih mempergiatkan usaha untuk mendekati rakyat dan menunjukkan kesungguhan dalam membuat perubahan.

“Sejarah politik dan pilihan raya di Malaysia telah menunjukkan pasang surut sokongan rakyat terhadap sesebuah parti politik.

“Telah terbukti banyak parti yang pernah tercorot dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dengan satu kerusi mahupun tiada kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), berjaya membuat kemunculan semula pada PRU seterusnya.

“Selagi parti tidak menggadaikan prinsipnya, terus mendekati rakyat dan menunjukkan kesungguhan mereka serta sedia berubah dengan tuntutan keadaan, peluang UMNO untuk terus kekal relevan masih ada,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit