Bakat Anak Muda Harus Digilap Dan Diberi Ruang – Nazifuddin

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Golongan muda merupakan aset berharga sesebuah negara yang sewajarnya digilap untuk menjadi pemimpin masa hadapan, kata Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Jelasnya, golongan ini perlu diberikan ruang dan peluang untuk menampilkan bakat kepemimpinan mereka bersama menerajui parti ini.

“Saya percaya dengan bakat-bakat yang ada di dalam Pemuda UMNO ini sekiranya digilap dan diberi ruang, muka-muka baharu akan keluar dari kilang Pemuda UMNO.

“Inilah yang diperlukan oleh parti ini, untuk memberikan parti nafas yang baharu, identiti baharu bagi membawa agenda visi dan misi UMNO ke arah yang lebih tinggi dan sesuai dengan keadaan masa kini.

“Ramai anak-anak muda dari muka baharu telah tampil ke hadapan untuk bertanding di pelbagai jawatan dalam Pemuda UMNO. Rakyat mahu melihat pemimpin-pemimpin baharu ini menunjukkan demokrasi yang sihat,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Calon nombor dua bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu juga mengharapkan seluruh akar umbi kembali bersatu sekiranya terdapat perbezaan pendapat.

“Sekiranya ada perbezaan pendapat, siapa yang perlu menjadi ketua dan siapa yang perlu menjadi pemimpin tapi selepas ini akar umbi boleh bersatu seperti satu keluarga.

“Paling penting dalam pertandingan ini dapat merapatkan perhubungan sesama ahli dan mengadakan dengan cara sihat.

“Saya percaya dengan semangat yang ada UMNO akan kembali rapat dan terus diperkasakan lagi seterusnya berjuang untuk rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit