Shafei Tekad Perkukuhkan Dan Kuatkan Parti

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Inilah masanya yang terbaik bagi seluruh ahli UMNO bagi merapatkan lagi saf dalam pemilihan ini bagi memperkuat dan memperkukuhkan parti, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.

Jelasnya, pengukuhan parti menjadi fokus utama dan ahli parti perlu menggembleng seluruh tenaga agar UMNO terus diperkasakan.

“Pemilihan kali ini cukup penting kerana MKT bercita-cita dapat memperkuatkan, mempertingkatkan serta mengukuhkan parti. Tentulah elemen pemikiran ini mesti menjurus kepada UMNO dan tidak ada dalam pemikiran untuk mengutuhkan parti yang lain.

“Sekiranya tidak bina semula parti ini dengan pemikiran baharu dan jitu, bimbang akhirnya mungkin akan lupus. Ada berbagai pemikiran yang mengatakan UMNO ini sudah mati, sebenarnya… tidak dan belum mati.

“Dalam masa sekarang ini ahli parti harus menghidupkan UMNO walaupun mempunyai 26 kerusi Parlimen dan sudah sampai masanya ‘solidariti’ parti ini harus dipertingkatkan dan yang menawarkan diri dalam pemilihan ini harus bertujuan demikian,” kata Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online, Auditorium Aras 4, Menara Dato’ Onn, WTCKL di sini.

Beliau turut menawarkan dan mempertahankan jawatan MKT bagi penggal 2023 hingga 2026 menyeru kepada seluruh ahli parti agar terus kekal dengan penyatuan dan jangan pandang ke belakang lagi.

“Ahli UMNO jangan pandang ke belakang dan harus pandang ke depan. Buatlah segala-galanya demi UMNO dan dengan adanya penyatuan dan kesepaduan pemikiran serta semangat yang jitu, insya-Allah… ianya akan terus hidup dalam masa akan datang.

“Walaupun UMNO mempunyai 26 kerusi pada PRU (Pilihan Raya Umum) lalu namun ianya menjadi penentu kepimpinan kerajaan dan itu bermakna ‘nyawa’ UMNO masih ada di dalam negara ini,” jelas beliau.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit