Teguh Martabat Wanita Adalah Tiga Tekad Utama Norliza Untuk UMNO

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Hasrat nurani untuk Wanita UMNO Malaysia bagi sesi 2023 hingga 2026 merangkumkan dalam tiga tekad berslogan ‘Teguh Martabat Wanita’ yang menjadi tawaran Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim. 

Menerusi satu hantaran di Facebook, Norliza berkata martabat wanita perlu diangkat seandainya diberi sokongan, dukungan dan kepercayaan dalam bentuk undi oleh para perwakilan Wanita UMNO seluruh negara.

“Teguh pertahan peranan Wanita dalam pengurusan, pentadbiran serta pembuat dasar parti, konglomerat dan kerajaan.

“Martabat keupayaan, kemenjadian dan kelestarian ekonomi Wanita hingga ke peringkat bahagian dan cawangan.

“Wanita perlu pembelaan mutlak dari aspek kebajikan, keselamatan, pendidikan dan sosial,” jelasnya.

Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang bertanding dalam Pemilihan UMNO 2023/2026 bagi mempertahankan jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia. 

Esok akan diadakan proses cabutan undi nombor calon bagi Majllis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Wanita, Pemuda Puteri UMNO.

Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) akan melaksanakan cabutan nombor bagi calon-calon yang telah mendaftarkan diri pada pemilihan parti.

Kesemua keputusan cabutan akan dipaparkan pada skrin LED di dalam auditorium dan senarai penuh keputusan cabutan serta nombor undian bagi setiap calon akan dipaparkan dalam laman sesawang www.umno-online.com.my bermula 3 Mac (Jumaat). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit