Proses Rejuvenasi UMNO Perlu Diterjemah Dengan Pasukan Dari Pelbagai Segmen – Nazrin Faiz

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Konsep rejuvenasi UMNO perlu diterjemahkan dengan sebuah pasukan yang datang dari pelbagai segmen dan merangkumi pelbagai diversiti.

Pengarah Komunikasi Strategik NGO Pemuda UMNO, Mohd Nazrin Faiz Che Abdul Aziz berkata, usaha tersebut sudah semestinya akan mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti.

“Untuk melaksanakan konsep rejuvenasi ini, UMNO mestilah dibangunkan dengan sebuah pasukan yang datang dari pelbagai segmen. Sepertimana kita ada kabinet bayangan dalam proses pembentukan kerajaan, maka dalam proses pemilihan kali ini mestilah ada diversiti yang jelas.

“Jangan hanya ada sekelompok sahaja individu ataupun merangkumi satu segmen sahaja. Kita kena memperlihatkan kepimpinan kita pilih itu datangnya daripada pelbagai segmen. Sebagai contoh, ada yang mewakili segmen usahawan, pendidik mahupun cendekiawan dan sebagainya.

“Ini menunjukkan UMNO ini datang dengan satu pakej dan menerbitkan semula kepercayaan rakyat, memperlihatkan UMNO memberi peluang kepada banyak segmen, maka kita perlu memberi peluang kepada UMNO semula,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang menawarkan diri selaku Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut berharap agar semua calon yang bertanding mengamalkan persaingan secara sihat dan mematuhi segala tataetika yang ditetapkan.

“Saya menggalakkan dan juga mendoakan semuanya bertandinglah dengan sihat kerana yang saya perhatikan ada tataetika sangat tegas. Orang kata nak jadi calon ini perlu ‘study’ sedikit sebanyak tataetika ini kerana kita tidak boleh melakukan kesilapan.

“Kalau kita melakukan kesilapan sudah semestinya pihak luar akan tengok. Bertandinglah dengan sihat dan gunakan strategi sebaiknya. Siapa yang menang kita raikan. Kepada yang kalah mungkin ada cara yang salah.

“Akhirnya, kita nak mendoakan sebuah pasukan yang jelas dan pastinya boleh membawa keyakinan rakyat kepada kita di dalam parti UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Nazrin turut mengharapkan agar para perwakilan memberikan beliau peluang untuk bersama-sama dalam barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

“Jadi, saya mahu mengambil kesempatan untuk memohon kepada semua perwakilan Pemuda UMNO secara keseluruhannya bagi memberikan saya undi.

“Saya Cikgu Nazrin, merupakan seorang pendidik dan satu-satunya yang menawarkan diri dari bidang ini. Berikan saya peluang untuk bersama-sama dalam kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO kerana saya mempunyai pengalaman dan boleh membantu UMNO bergerak dengan lebih baik.

“Jika ada keyakinan anda, undilah saya dan saya akan memberikan khidmat yang terbaik kepada parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit