Pemilihan UMNO: Parti Sentiasa Terbuka, Alukan Muka Baharu Cebur Diri

KUALA LUMPUR, 27 Feb – UMNO sentiasa terbuka dan mengamalkan demokrasi buat sesiapa sahaja yang berminat untuk menawarkan diri bagi mana-mana jawatan sempena Pemilihan UMNO 2023.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata, UMNO semakin diminati memandangkan ramai yang menawarkan diri untuk bersama memimpin parti.

“Sebenarnya UMNO tidak seperti dijangkakan. Ramai yang berminat pada pemilihan kali ini. Saya yakin UMNO semakin diminati dan kita menyeru kepada rakyat dan netizen di luar sana, demokrasi sedang berlaku dalam UMNO.

“Kita secara bebas bertanding secara sihat dan bukanlah kita mengutuk dan mengata. Tak perlu itu semua sebab akar umbi sudah tahu siapa yang mereka nak pilih.

“Memanglah seharusnya kita buka seluas-luasnya terutama kepada muka-muka baharu. Parti UMNO bukan parti ortodok. Seharusnya mereka diberi peluang, tempat dan sebagainya mengikut kesesuaian. Kita beransur-ansur ke arah itu,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kehadiran muka-muka baharu yang menawarkan diri untuk menjadi pemimpin akan lebih memperkukuhkan parti bersama pemimpin lama.

“Bukan kita nak buang semua yang lama. Tetapi yang baharu perlu menghormati yang lama dan yang lama beri kasih sayang.

“Insya-Allah gandingan lama dan baharu ini akan menjadikan parti lebih kukuh dan kuat,” kata Setiausaha Wanita UMNO Malaysia itu lagi.

Rosni yang menawarkan diri sebagai Ahli MKT UMNO berhasrat membawa agenda untuk memperkasakan lagi Wanita UMNO.

“Saya bertanding jawatan MKT dan saya mengharapkan sokongan daripada Wanita UMNO. Tolonglah bantu Wanita UMNO ini supaya persepsi yang menyatakan UMNO ialah ‘man’s world’ tidak sebenarnya berlaku. Beri peluang kepada Wanita UMNO yang sentiasa setia kepada parti. Kita akan pastikan UMNO sentiasa gemilang dan cemerlang.

“Saya membawa agenda supaya Wanita UMNO diberi tempat yang lebih besar dan diperkasakan supaya mereka mendapat peluang bukan sahaja sebagai MKT, dalam membuat keputusan tetapi fenomena 30 peratus ini berlaku dalam MKT. Ini persepsi pertama yang orang lihat.

“Jadi saya mengharapkan kita membuka minda, beri peluang kepada Wanita UMNO yang boleh ke hadapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak Wanita UMNO untuk terus ke depan dan memilih pemimpin yang terbaik bagi memulihkan parti.

“Saya menyeru kepada semua terutamanya Wanita UMNO, kita perlu ke hadapan. Kita sekarang menghadapi cabaran. Kena perbetulkan kalau ada pemimpin itu tidak kena, kita beri teguran.

“Itu tujuan kita untuk membantu parti kerana Wanita UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin.

“Jadi, saya sangat-sangat positif supaya perwakilan melihat keadaan yang sebenar, pemimpin mana yang sentiasa susah senang bersama. Itu yang paling penting sekali,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit