Pemilihan UMNO: Kemunculan Muka Baharu Bukti Parti Pemangkin Suara Anak Muda – Rais Yasin


KUALA LUMPUR, 27 Feb – Kemunculan muka-muka baharu sepanjang musim Pemilihan UMNO 2023 ini membuktikan bahawa parti terus menjadi pemangkin kepada suara anak muda.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rais Yasin berkata, ini adalah satu fenomena yang baik terutama sekali dalam proses rejuvenasi parti.

“Inilah pesta demokrasi yang sedang berlaku. Alhamdulilah, UMNO masih dan terus menjadi pemangkin kepada suara anak muda bukan sahaja Melayu malah bumiputera.

“Saya fikir ini adalah satu perkara yang baik untuk parti kalau banyak muka baharu ataupun orang muda menawarkan diri,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu turut menawarkan diri beliau selaku Ahli MKT pada pemilihan kali ini dengan harapan untuk terus membawa suara anak-anak muda ke peringkat atasan parti.

“Alhamdulilah syukur saya telah menghantar borang untuk menawarkan diri bertanding selaku MKT UMNO. Saya amat berharap agar diberi ruang dan peluang untuk meneruskan lagi kerja-kerja saya di dalam MKT.

“Saya juga mewakili suara orang-orang muda, ahli-ahli dan akar umbi daripada peringkat Pergerakan Pemuda UMNO agar dapat kami teruskan khidmat bukan sahaja di dalam agenda pembaharuan tetapi memperkasakan parti dan memastikan suara-suara orang muda terus subur di dalam parti keramat UMNO ini.

“Saya berharap agar terus diberi ruang dan peluang untuk berada di dalam barisan yang sama supaya proses peremajaan parti ini dapat kita teruskan bersama. Insya-Allah saya rasa para perwakilan kalau boleh berilah mandat kepada kami, muka-muka baharu dan juga orang muda,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar semua calon bersaing secara sihat dan berusaha untuk memperkasakan parti sekiranya dipilih oleh para perwakilan.

“Saya sekarang sedang berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan. Mungkin ini dapat membawa sedikit kelebihan ke dalam parti keramat UMNO ini.

“Pesanan saya tidaklah besar sangat cuma hasrat saya agar kalau boleh biarlah diberi ruang dan peluang kepada saya, Rais bin Yasin untuk terus menawarkan khidmat bakti dalam parti keramat UMNO ini.

“Kepada calon-calon lain saya juga mendoakan agar kita semua dapat bertanding secara sihat dan sesiapa sahaja yang dipilih para perwakilan nanti akan dapat terus bekerja, memperkasakan parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.