UMNO Masih Relevan, Ramai Tawar Diri Tanding Pemilihan – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Pemilihan UMNO 2023 mendapat sambutan hangat apabila ramai calon tampil untuk menawarkan diri bagi jawatan dipertandingkan, sekaligus membuktikan UMNO masih relevan.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, ada beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan UMNO bukan sahaja relevan di peringkat parti bahkan rakyat.

“Apabila ramai orang cuba nak menjawat jawatan dalam parti maknanya UMNO ini masih relevan.

“Cumanya, ada beberapa perkara perlu dilakukan supaya UMNO bukan relevan di peringkat parti sahaja tetapi di peringkat akar umbi, rakyat dan anak muda yang akhirnya akan memberi ruang serta peluang kepada kita untuk kembali dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“UMNO tidak tandus pemimpin tetapi memerlukan pemimpin yang ada keberanian untuk menyatakan sesuatu benda walaupun pahit. Saya yakin dengan langkah yang dibuat oleh anak-anak muda ini, mereka ingin melihat apa perancangan UMNO pada 20 tahun akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, pemimpin muka baharu amat diperlukan untuk meneruskan legasi perjuangan UMNO yang berlandaskan agama, bangsa dan tanah air.

“Sudah pasti dalam keadaan ini kita memerlukan muka-muka baharu untuk belajar memimpin bukan sahaja di peringkat cawangan tetapi yang paling pentingnya mereka mencuba untuk menjawat jawatan lebih tinggi.

“Mereka perlu belajar suka duka, atas dan bawah, senang dan susah, kerana parti kita ini dahulunya mempunyai semangat kesatuan yang amat tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Shahar turut memaklumkan bahawa beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada musim ini dengan bertujuan untuk mengembalikan siasah Pemuda UMNO yang sebenar.

“Saya menawarkan diri untuk diberi mandat sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia atas pengalaman saya sebagai ahli Parlimen muda yang telah memasuki dua penggal. Saya menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15 lalu.

“Saya juga adalah bekas Timbalan Menteri Kewangan. Sekarang, saya merupakan Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Saya juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda Negeri Pahang dan selama dua penggal menjadi Ketua Pemuda Bahagian.

“Pastinya dengan pengalaman ini saya memahami setiap spektrum yang ada dalam kepimpinan dalam memperkasakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

“Apa yang lebih penting, kita kembali kepada Pemuda. Kita Pemuda. Sudah pasti Pemuda mempunyai tekad. Saya akan menggariskan lima tekad untuk kembali kepada siasah Pemuda yang sebenar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para perwakilan untuk memilih pemimpin yang berwibawa di samping mengharapkan sokongan daripada akar umbi Pemuda UMNO.

“Semua perwakilan haruslah bertindak dengan hati yang terbuka. Kita tidak boleh memikirkan parti ini hanya perlu dianggotai oleh mereka yang telah ditentu-tentukan kerana UMNO adalah milik rakyat, ahli dan akar umbi.

“Sudah pasti saya harap para perwakilan memilih berlandaskan kepada kemampuan untuk memimpin dan mesti ada elemen keberanian dan kesempurnaan dari segi tindak tanduknya.

“Berilah saya peluang untuk memimpin kerana pengalaman luas yang saya miliki merupakan sedikit kelebihan untuk memimpin. Pilihlah yang betul, kita Pemuda dan sudah pasti tekad ini akan kita gembleng secara bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit