Pilih Calon Pemimpin Terbaik, Kembali Perkasa Agenda Perjuangan UMNO – Latipah

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Latipah Omar percaya bahawa perwakilan yang akan mengundi pada Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 akan memilih pemimpin terbaik bagi agenda memperkasa parti keramat ini.

Ini kerana katanya ia penting bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Pemilihan ini secara terbuka tiada paksaan masing-masing boleh memilih siapa yang boleh membawa parti ke arah yang lebih baik, mampu menangani hati pengundi muda,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Latipah pada masa sama turut memaklumkan bahawa beliau menawarkan diri sebagai Exco Wanita UMNO Malaysia pada pemilihan penggal ini.

Beliau malah meluahkan kepercayaan bahawa kerjasama yang baik antara kepimpinan lama dan baharu akan memberikan justifikasi terbaik berdasarkan pengalaman dimiliki mereka.

“Tiada muka lama, tiada muka baharu jadi kedua-duanya perlu ada berjalan seiring dan sejalan tetapi jangan merapuhkan parti, merenggangkan hubungan akibat daripada pertandingan.

“60 lebih tahun diberikan kuasa untuk memerintah kita diuji dan tahu banyak yang tercapai maka saya seru pilihlah pemimpin yang baik dan pandai bagi membawa ahli-ahli UMNO ke arah yang terbaik dalam arus perdana,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.