Pemilihan UMNO Peluang Terbaik Akar Umbi Menentukan Barisan Kepimpinan – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 26 Feb – UMNO memerlukan barisan kepimpinan yang terbaik untuk mengemudi parti terutamanya ketika sedang dilanda badai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kemeriahan pesta demokrasi UMNO kali ini memberikan peluang kepada akar umbi untuk memilih pemimpin yang benar-benar mampu bagi menggalas tanggungjawab.

“UMNO memerlukan pilihan terbaik. Sebab itu, kita laksanakan pemilihan agar akar umbi dan para perwakilan boleh membuat pilihan.

“Saya sebenarnya risau sekiranya pada pemilihan kali ini tidak ada yang mahu merebut jawatan seakan-akan UMNO ditinggalkan. Tetapi ianya meleset sama sekali sebab ramai yang menawarkan diri di peringkat pusat, bahagian mahupun cawangan.

“Ada sesetengah bahagian sampai tiga ke empat penjuru pentandingan. Alhamdulilah, masih ada orang yang mahu menggalas amanah dan memikul tanggungjawab bagi terus berbakti,” katanya ketika ditemui selepas menghantar borang daftar calon di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu turut mengumumkan penawaran dirinya sebagai calon bagi jawatan Naib Presiden UMNO untuk pemilihan kali ini.

“Hari ini saya tampil ke ibu Pejabat UMNO untuk kemukakan borang bagi menawarkan diri dalam menjawat jawatan Naib Presiden UMNO untuk sesi 2023/2026.

“Penawaran ini didasarkan atas penelitian perjalanan politik yang telah saya lalui lebih 25 tahun.

“Dengan rangkuman khidmat dari berusia 28 tahun bermula sebagai setiausaha politik, Exco Pergerakan Pemuda UMNO selama sepuluh tahun, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memberi satu gambaran bahawa memadailah untuk saya memberi pertimbangkan melangkah ke pentas selanjutnya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap penawaran beliau sebagai calon untuk Naib Presiden UMNO akan memberikan lebih banyak pilihan kepada para perwakilan.

“Saya berharap ini adalah satu tawaran yang baik kepada semua perwakilan sebab yang ada sebaris dengan persaingan saya juga mempunyai banyak pengalaman.

“Namun, saya menawarkan khidmat sebagai salah satu calon yang boleh dikatakan sentiasa ada 24 jam sebab saya bukan lagi anggota pentadbiran.

“Jadi, pertimbangkanlah Reezal Merican. Kalau ada di kalangan mereka melihat dan memerlukan seseorang pemimpin yang mempunyai tenaga dan boleh menyumbang lebih dalam keadaan politik mencabar ini, saya sebagai orang tersebut ingin mengisi posisi bagi menjadikan ia acuan sebaik bersama kepimpinan parti,” katanya lagi.

Membawa tiga agenda yang disebutkan sebagai ‘3K’, beliau turut menganggap UMNO memerlukan wajah-wajah yang mampu menarik sokongan rakyat.

“3K yang saya sebutkan tadi iaitu khidmat, keupayaan dan kesetiaan saya. Saya melihat bahawa UMNO memerlukan wajah-wajah yang boleh menggamit sokongan daripada kalangan masyarakat dan rakyat keseluruhannya. UMNO memerlukan pemimpin yang memupuk semula kesepaduan dalam parti.

“Kita boleh berbeza pandangan tetapi kita perlu menguruskan parti secara baik. Bukan mengurus kemenangan, mengurus kekalahan pun kita tidak dapat lakukan dengan baik. Kita tidak boleh persembahkan kepada rakyat bahawa kita ada parti yang ‘berselerak’,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para calon yang menawarkan diri untuk bertanding secara sihat.

“Bertandinglah dengan cara yang baik terutamanya kepada calon-calon muda, ‘do not have be too excessive’. Sebab Pemuda, Puteri dan Wanita, mereka perlu dikenali maka mereka kerap nak menonjolkan diri.

“Jadi, penonjolan biarlah dibuat secara berpada. Saya yakin bahawa orang lebih suka yang bersederhana,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit