Pemilihan UMNO: Surat Terbuka Kepada Ahli – Isham Jalil
ASSALAMUALAIKUM, Tuan-tuan dan Puan-puan,
1. Pertama sekali, izinkan saya untuk menulis sedikit panjang buat kali ini. Saya fikir saya perlu menulis lebih daripada hanya beberapa perenggan yang tidak dapat saya gambarkan melalui lukisan untuk menyampaikan hasrat dan pemikiran saya berkenaan parti keramat ini memandangkan perjalanan kita bersama parti ini sudah sekian lama namun masih jauh lagi dan banyak perkara yang perlu kita buat. Saya sebenarnya merancang untuk menulis buku berkenaan hal ini, namun pada masa ini saya ringkaskan dahulu isi buku ini dalam bentuk surat sepanjang 37 perenggan.
2. Semalam saya telah menyerahkan borang untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Saya ingin terus membawa suara akar umbi ke peringkat tertinggi parti dan meneruskan perjuangan UMNO di negara ini. Saya ingin serahkan kepada akar umbi UMNO untuk menentukan sama ada saya layak diberi mandat untuk terus berada di dalam Majlis Kerja Tertinggi. Kalah atau menang, saya serahkan sepenuhnya kepada akar umbi dan kepada keizinan Allah SWT. Dan sama ada Presiden melantik saya semula sebagai Ketua Penerangan selepas pemilihan ini, saya serah sepenuhnya jua kepada budi bicara beliau dan dengan izin Allah SWT.
3. Pada saya, mandat akar umbi ini adalah penting, ia adalah keabsahan demokratik yang menjadi pendorong untuk saya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam parti dengan lebih berkesan dalam perjuangan ini. Oleh itu dengan rendah hati saya mohon sokongan daripada tuan-tuan dan puan-puan untuk memilih saya ke jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada pemilihan kali ini.
PERJUANGAN
4. Sejak kecil saya telah berkhidmat untuk UMNO. Ibu bapa saya adalah akar umbi UMNO sejak tahun 1980an. Banyak pengalaman pahit manis yang telah saya tempuh bersama parti ini. Saya masih ingat pengalaman ketika menampal poster untuk Barisan Nasional semasa pilihanraya umum ke-7 semasa umur saya 10 tahun, dan ketika menyampaikan bacaan Al-Quran untuk majlis perasmian pejabat cawangan UMNO yang baru di Gombak semasa umur saya 11 tahun, serta ketika menulis ucapan pembukaan mesyuarat cawangan UMNO untuk ayah saya semasa umur saya 12 tahun. Tahun ini umur saya sudah mencapai 47 tahun. Saya akan terus berjuang untuk parti yang saya cintai ini.
5. Selepas kita kalah dalam pilihanraya umum ke-14 lima tahun yang lalu, pada bulan Jun 2018 saya telah menulis buku bertajuk “Halatuju UMNO dan Orang-orang Melayu Pasca 9 Mei 2018”. Dalam buku ini saya nyatakan tentang halatuju perjuangan UMNO dalam era baru ini, tentang masalah politik wang, dan tentang penyatuan orang-orang Melayu. Sebanyak seribu naskah buku ini telah dijual dalam tempoh sejam di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun tersebut. Alhamdulillah, masih ramai yang berminat dengan perjuangan UMNO. Pada pemilihan kali ini saya jangka ramai atau lebih seratus orang akan menawarkan diri untuk bertanding bagi merebut 25 kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menentukan dasar-dasar parti. Selagi semangat akar umbi ini terus membara, selagi itu UMNO tidak akan terkubur.
CABARAN
6. Beberapa minggu selepas kita kalah PRU-14, apabila pemimpin-pemimpin UMNO iaitu Dato’ Sri Najib dan Dato’ Sri Zahid ditekan dan ditahan di lokap SPRM di Putrajaya, saya, rakan-rakan dan tuan-tuan dan puan-puan telah berhimpun di hadapan pejabat SPRM untuk membantah perkara ini dan mendesak supaya Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan. Selepas itu dan sejak lima tahun yang lepas saya dan rakan-rakan telah kerap dipanggil oleh pihak berkuasa, dirampas telefon, disaman dan terpaksa naik turun mahkamah banyak kali. Saya pasti tekanan-tekanan dan pendakwaan-pendakwaan terpilih ini dibuat kerana pemimpin-pemimpin UMNO dan juga saya serta rakan-rakan tidak mahu tunduk kepada kemahuan parti pemerintah pada ketika itu iaitu PPBM yang mahu membubarkan UMNO dan memenjara pemimpin-pemimpin UMNO yang lantang menentang mereka.
7. Saya yakin dengan perjuangan UMNO, sebab itu saya istiqamah dalam perjuangan ini walaupun dengan pelbagai cabaran dan dugaan dan tanpa apa-apa balasan. Saya tidak pernah ambil gaji atau elaun bulanan dari UMNO atau Barisan Nasional sejak saya berjuang selama ini termasuk apabila saya menjadi Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor pada tahun 2020 sehingga 2022 dan apabila saya dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia dua bulan yang lepas. Saya percaya ramai antara tuan-tuan dan puan-puan pun begitu juga dalam perjuangan ini, ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan tanahair. Perjuangan ini adalah untuk masa depan kita bersama dan saya pohon balasan dan restu dari Allah SWT.
8. Saya berjuang bukanlah kerana wang atau jawatan, dan saya bukanlah kaki bodek untuk jawatan. Selepas beberapa tahun berjuang tanpa apa-apa dan tanpa rasa takut atau mengalah walaupun sentiasa ditekan oleh pihak berkuasa dan berhadapan menentang parti lawan, mungkin Allah SWT telah membuka hati pemimpin-pemimpin UMNO untuk melantik saya ke jawatan-jawatan di atas sebelum ini. Saya ucap terima kasih kepada pemimpin-pemimpin parti dan Presiden UMNO kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas jawatan dalam parti.
9. Namun perjalanan politik saya bukanlah mudah. Saya bukan dari keluarga yang kaya atau ternama. Banyak ranjau yang perlu dan telah saya lalui dalam perjuangan ini. Saya juga pernah dipecat daripada jawatan parti sebagai Ketua Penerangan BN Selangor sebelum ini. Suatu hari pada bulan Jun 2022 selepas dua tahun berkhidmat, saya hanya terima surat melalui whatsapp menyatakan saya telah dilucutkan jawatan, alasan yang diberi kepada saya adalah kerana jawatan tersebut tidak ada dalam perlembagaan BN. Sehingga hari ini saya tidak tahu sebab sebenar mengapa saya dipecat. Namun saya redha kerana ianya adalah ketentuan Ilahi dan saya teruskan perjuangan ini walaupun dengan pahit getir yang dilalui.
SAAT MANIS
10. Di samping pelbagai cabaran dan dugaan, Alhamdulillah saya juga ingat ketika kita sama-sama melalui saat-saat manis dalam perjuangan ini. Selepas PRU-14, kita telah menang di tujuh pilihanraya kecil di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim, dan menang besar di dua pilihanraya negeri di Melaka dan Johor. Walaupun tanpa jawatan atau habuan, kita telah sama-sama berjuang di pilihanraya-pilihanraya ini. Apabila menang kita bersyukur, apabila kalah kita setia. Dan kita telah merasai fenomena “Bossku” sejak November 2018 sehinggalah Bossku dipenjara beberapa bulan sebelum PRU-15.
REDHA
11. Apabila kita kalah PRU-15, kita tidak putus asa. Saya sendiri telah melalui kekalahan di Parlimen Shah Alam. Saya telah diamanahkan oleh parti untuk berjuang di kawasan kedua terhitam di Malaysia buat UMNO, kawasan yang digelar media dan penganalis politik sebelum PRU-15 sebagai kawasan mustahil untuk menang untuk UMNO, kerusi “kamikaze” dan kerusi “bunuh diri”. Walaupun demikian, saya tidak patah semangat dan telah berusaha sehabis baik bersama jentera BN Shah Alam di kerusi tersebut dan berjaya menambah enam ribu undi berbanding sebelumnya. Walaupun saya tidak berjaya untuk menang, saya tidak menyalahkan sesiapa atas kekalahan ini, saya redha dan ambil sepenuh tanggungjawab ke atas kekalahan ini.
12. Dan walaupun kita tewas, Allah SWT telah mengizinkan kita untuk menjadi kerajaan. Dan saat ini juga adalah masa yang kritikal untuk kita membina semula parti kita. Tahun-tahun mendatang ini adalah masa yang mencabar buat UMNO. Apa yang kita lakukan sekarang akan menentukan sama ada UMNO akan terus relevan dan hidup di negara ini atau hilang ditelan zaman.
DIPERTARUHKAN
13. Lima tahun yang lalu, sebulan selepas kita kalah PRU-14 pada tahun 2018 dan selepas kerajaan PM-7 Mahathir mengambil alih, saya telah mendesak supaya Tun Mahathir disiasat dan mengambil tanggungjawab ke atas kehilangan Pulau Batu Putih. Pada ketika itu saya tegaskan bahawa Perdana Menteri ke-7 dan Peguam Negara sepatutnya memfailkan rayuan sebelum tempoh rayuan tamat pada tahun 2018 kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa apabila Malaysia mendapat bukti baru dari Arkib negara UK yang menyokong bahawa Pulau Batu Putih sebenarnya berada di bawah jajahan Johor. Tetapi Tun Mahathir tidak menghiraukan dan kita telah hilang pulau dan perairan kita ini buat selama-lamanya. Kini Tun Mahathir perlu jawab tentang perkara ini.
14. Pada tahun 2019 apabila PPBM membawa cadangan untuk meratifikasikan ICERD, saya dan rakan-rakan telah lantang menentang cadangan ini. Saya yakin bahawa perkara ini perlu ditentang sehingga saya telah menulis buku bertajuk “ICERD: Mengapa Semua Kaum di Malaysia Perlu Menolaknya”. Beberapa minggu selepas itu kita telah bersama-sama dengan berjuta rakyat yang lain dan juga PAS dan NGO-NGO berarak di Kuala Lumpur untuk menentang ICERD.
15. Saya juga telah menulis menentang Statut Rom yang di bawa oleh PPBM kerana Statut ini jika diterima akan melemahkan institusi Raja-raja Melayu dan kedudukan orang-orang Melayu di Malaysia.
16. Beberapa bulan selepas perarakan menolak ICERD dan penentangan ke atas Statut Rom yang dibawa oleh PPBM tersebut, kita telah memeterai Piagam Muafakat Nasional bersama PAS. Saya amat menyokong kerjasama ini pada ketika itu. Dalam penulisan-penulisan saya sebelum itu, saya telah beberapa kali nyatakan bahawa salah satu cara untuk menyatukan orang-orang Melayu ialah dengan menyatukan dua parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan PAS.
17. Namun apakan daya kerjasama antara UMNO dan PAS ini tidak bertahan lama kerana PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan pengkhianat UMNO iaitu PPBM. Dalam satu mesyuarat antara saya dengan pemimpin-pemimpin PAS di Selangor dua tahun yang lalu, saya pernah bertanya kepada pemimpin PAS sama ada mereka mahu pilih perjuangan atau pilih wang, jika mereka mahu pilih perjuangan maka pilihlah muafakat dengan UMNO, namun jika mereka mahu pilih wang ringgit maka mereka akan pilih PPBM. Akhirnya mereka memilih untuk bekerjasama dengan PPBM dan meninggalkan UMNO. Beberapa bulan selepas itu mereka (PAS) telah mendaftar gagasan politik Perikatan Nasional bersama PPBM. Tidak sampai setahun selepas piagam dimeterai, Muafakat Nasional telah terkubur oleh kerana pengkhianat dan wang ringgit.
18. Apabila Perikatan Nasional menang 74 kerusi dalam pilihanraya umum yang lalu, kita telah lihat bagaimana mereka menang kerana politik wang dan rasuah pengundi. Kini kita tahu bahawa mereka telah memperoleh dana yang besar untuk kempen pilihanraya daripada sumber rasuah atau komisyen dari kontrak-kontrak kerajaan bernilai berbillion ringgit yang diberikan secara rundingan terus semasa darurat apabila mereka berkuasa. Kita perlu lawan perkara ini dan bawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Jika tidak, ke manakah arah tuju politik negara ini akan pergi apabila pemimpin politik dalam kerajaan merasuah pengundi untuk menang pilihanraya dengan menggunakan duit rasuah projek kerajaan? Jika ini terus berlaku maka yang akan menang dalam pilihanraya dan menjadi pembuat dasar serta pemegang duit rakyat adalah terdiri daripada perasuah dan orang-orang jahat. Untung nasib rakyat berada di tangan mereka, nauzubillah.
19. Saya dulu berkhidmat selama 20 tahun dalam kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan dari pegawai rendah sehingga menjadi pengarah. Selama saya berkhidmat saya tidak pernah ambil rasuah atau apa-apa komisyen dan tidak pernah ada kes rasuah. Walhal mereka yang hanya berada dalam kerajaan selama 17 bulan dilihat sudah pandai sakau duit berbillion dan sudah ada tuduhan kes rasuah berjuta. Laporan menyebut salah seorang pemimpin mereka meminta dan menerima sogokan RM6 juta sebagai timbal balas untuk kontrak kerajaan ketika memegang jawatan dalam kerajaan atau agensi kerajaan. Mereka tidak sepatutnya makan komisyen ketika memegang jawatan kerajaan. Ini salah, bukan sahaja dari segi etika tetapi di sisi undang-undang.
PEMBAHARUAN
20. Untuk membina semula UMNO dan mengembalikan semua keyakinan rakyat terhadap perjuangan UMNO, pertama sekali kita perlu bersihkan reputasi UMNO dan persepsi negatif yang telah dimomokkan terhadap UMNO selama ini. Kita kalah dua pilihanraya umum sebelum ini sebab rakyat melihat UMNO ini adalah sebuah parti rasuah. Tidak ada orang yang akan undi parti yang mereka percaya makan rasuah. Jika kita terus biarkan imej dan reputasi ini berkekalan maka kita akan terus kalah pilihanraya tidak kira apa perubahan lain yang kita buat di dalam parti.
21. Sebab ini juga kita perlu perjuangkan akta pendanaan politik untuk menangani masalah di atas supaya pendanaan politik di negara ini menjadi lebih telus dan bersih. Ia juga akan membolehkan orang-orang muda yang mempunyai idea dan niat yang baik dan ingin menceburkan diri dalam politik untuk berkhidmat untuk rakyat meraih dana tanpa menjadi korup. Jika tidak, politik Malaysia akan hanya dikuasai oleh orang-orang kaya atau orang-orang korup atau kedua-duanya. Ini tidak baik dan membawa mudarat untuk rakyat.
22. Sebab itu juga kita perlu menentang perasuah-perasuah dalam Perikatan Nasional dan bawa mereka ke muka pengadilan. Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO telah dituduh rasuah dan dibawa ke mahkamah. Selepas beberapa tahun naik turun mahkamah, ramai daripada mereka telah mendapat penghakiman dan terbukti tidak bersalah. Namun yang kerap terlepas dari pengadilan kerana melompat parti walaupun mereka ada kes rasuah sebelum ini adalah pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional. Kali ini mereka tidak akan terlepas dan mereka wajib berhadapan dengan pengadilan seperti orang lain. Ini juga supaya pemimpin-pemimpin kerajaan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab apabila mereka berkuasa dan tidak membuat sesuka hati dengan kuasa yang ada dan dengan wang rakyat.
23. Namun yang masih belum lagi mendapat pengadilan yang sepatutnya adalah Dato’ Sri Najib. Sejak kita kalah pilihanraya pada tahun 2018 saya telah berdiri bersama beliau di kala saat yang paling getir dan mencabar dalam hidupnya dengan pelbagai dugaan melanda. Pada ketika itu beliau telah jatuh dan tidak lagi ada kuasa. Walaupun demikian, saya tidak tinggalkan beliau sebab beliau adalah sahabat saya dan saya yakin beliau telah teraniaya, dan kini saya lihat beliau telah tidak mendapat perbicaraan yang adil. Sahabat tidak tinggalkan sahabat di kala susah. Semalam genap enam bulan beliau dipenjara. Saya akan terus berusaha supaya Dato’ Sri Najib mendapat perbicaraan yang adil dan sehingga beliau dibebaskan dari penjara.
PENYELESAIAN
24. Untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO, kita juga perlu mencari penyelesaian kepada masalah-masalah rakyat. Kini rakyat berdepan dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup. Selepas pandemik COVID-19, masih ramai rakyat yang tidak ada kerja, yang ada kerja pula bergaji kecil atau dipotong, dan yang berniaga menghadapi masalah kenaikan kos. Dan harga barangan makanan dan keperluan pula semakin meningkat. Kita perlu mencari penyelesaian ke atas perkara-perkara ini.
25. Sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa, saya telah berkhidmat dengan kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan selama dua dekad dalam pembuatan dan perlaksanaan dasar termasuk dasar-dasar ekonomi. Saya pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi dan terlibat dalam penggubalan dasar ekonomi negara, penyediaan bajet persekutuan, dan pembentangan Rancangan Malaysia.
26. Beberapa bulan yang lalu saya telah nyatakan bahawa untuk mengembalikan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat dalam jangkamasa pendek dan sederhana pada tahun ini kita perlu mengembalikan saiz ekonomi kita ke tahap yang sama atau lebih besar dari saiz ekonomi sebelum COVID-19. Saiz ekonomi kita kini adalah USD20 billion lebih kecil berbanding saiz ekonomi sebelum COVID-19. Untuk memulihkan ekonomi negara kini kita perlu meningkatkan keyakinan pelabur dari dalam dan luar negeri untuk mengembangkan perniagaan dan pelaburan mereka sebanyak USD20 billion ke USD40 billion dalam tahun ini. Untuk ini kerajaan dan pihak swasta perlu bekerja keras bersama-sama. Dan ahli-ahli politik tidak boleh mencetuskan ketidakstabilan politik lagi yang akan meruntuhkan keyakinan pelabur.
27. Apabila pelabur yakin dengan keadaan ekonomi dan kestabilan politik Malaysia, mereka akan melabur dan membeli ringgit. Apabila ini berlaku maka ringgit akan mengukuh maka masalah kenaikan kos barangan import terutama barangan makanan akibat tukaran wang asing akan dapat ditangani dengan lebih baik.
28. Apabila ringgit mengukuh, Bank Negara tidak perlu lagi menaikkan kadar faedah OPR untuk mengawal kejatuhan ringgit. Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa kenaikan kadar OPR adalah amat membebankan rakyat dan Bank Negara tidak sepatutnya mengikut langkah Bank Rizab Amerika setiap kali mereka menaikkan kadar faedah kerana struktur ekonomi Malaysia dan struktur ekonomi Amerika Syarikat adalah tidak sama.
29. Untuk mengembangkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat dalam jangkamasa panjang dan dalam ruang pandangan jauh pula, kita perlu mengubah struktur pengeluaran ekonomi dan nilai barangan dan perkhidmatan negara kita.
30. Sepuluh tahun lepas saya telah menulis sebuah buku bertajuk “Malaysia Beyond 2020: Ideologies and Institutions for Growth” (Malaysia Selepas 2020: Ideologi dan Institusi untuk Kemajuan).
31. Dalam buku ini saya telah nyatakan bahawa untuk meningkatkan purata gaji dan pendapatan rakyat, kita perlu mengeluarkan barangan yang bernilai tinggi dan tidak hanya barangan komoditi yang bernilai rendah. Untuk ini kita perlu meningkatkan keupayaan teknologi kita berbanding negara-negara lain. Kita perlu meningkatkan perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Sejak 30 tahun lalu perbelanjaan R&D di Malaysia adalah hanya dalam 1 ke 2 peratus dari saiz ekonomi (KDNK) kita, ini berbanding perbelanjaan R&D sebanyak 3 ke 5 peratus dari saiz ekonomi di negara-negara lain seperti Korea Selatan, Jepun dan China. Pada suatu masa dahulu, saiz ekonomi Korea Selatan adalah sama besar dengan Malaysia. Tetapi kini saiz ekonomi dan pendapatan rakyatnya telah membesar berkali ganda berbanding Malaysia. Antara sebabnya adalah kerana mereka telah mengeluarkan barangan yang berteknologi dan bernilai tinggi hasil daripada pelaburan dan perbelanjaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka yang besar. Kita mempunyai ramai jurutera, saintis, dan ahli teknologi yang bertauliah dan berdaya saing di Malaysia, namun ramai antara mereka tidak berpeluang untuk menggunakan ilmu mereka untuk penyelidikan dan pembangunan barangan yang bernilai dan berteknologi tinggi sebab pelaburan dan peruntukan ke atas penyelidikan dan pembangunan di Malaysia adalah kecil berbanding di negara-negara lain. Inilah antara sebab ramai bijak pandai kita bekerja sebagai pakar dan penyelidik di luar negeri dan tidak pulang ke Malaysia.
32. Banyak lagi idea dan saranan berkenaan ekonomi yang mahu saya tulis di sini namun di kesempatan ini ia terkekang oleh masa dan ruangan surat ini. Saya akan menulis lagi berkenaan hal ini terutama berkenaan isu peningkatan kos sara hidup, isu kehilangan pekerjaan, isu gaji rendah dan isu kenaikan harga barang serta masalah-masalah lain serta cadangan-cadangan penyelesaiannya secara lebih terperinci dalam buku atau penulisan saya yang akan datang, inshaAllah. Saya berasal dari keluarga yang susah, semasa saya kecil ayah saya adalah seorang pembawa lori dan peniaga pasar malam, oleh itu saya amat faham tentang masalah-masalah ini dan pernah melalui banyak daripadanya sebelum ini. Saya akan terus berusaha supaya rata-rata rakyat Malaysia akan dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.
KEHIDUPAN YANG LEBIH BAIK
33. Saya juga ingin terus memperjuangkan penyelesaian kepada masalah-masalah besar rakyat yang lain. Dua masalah yang paling utama yang sering saya perjuangkan selama ini ialah masalah air dan banjir. Banyak tahun yang lalu saya telah membawa isu air yang kotor dan selalu terputus sehingga saya telah disaman oleh syarikat bekalan air. Saya telah lawan saman ini dan menang di mahkamah. Air adalah keperluan asas utama, manusia boleh hidup tanpa makanan selama beberapa minggu tetapi tidak boleh hidup tanpa minum air selama beberapa hari. Jika kita kerap minum air kotor yang tercemar, pelbagai penyakit akan dihadapi oleh kita dan rakyat yang lain. Jika kita mempunyai wang untuk membayar sendiri sistem penapisan air setiap bulan, mungkin kita lebih selamat dan bernasib baik, namun bayangkan nasib berjuta rakyat yang berpendapatan rendah yang tidak mampu untuk membayar sistem penapisan air di rumah, mereka mungkin terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan jika kerap meminum air yang tercemar atau tidak bersih. Visi saya adalah supaya suatu hari nanti semua rakyat Malaysia akan dapat minum air yang bersih terus dari paip tanpa penapis persendirian di rumah seperti di beberapa negara maju.
34. Sejak hampir sepuluh tahun yang lalu saya juga kerap membawa isu dan penyelesaian ke atas masalah banjir. Apabila banjir besar melanda, ramai rakyat terkesan dengan kehilangan harta benda dan kehilangan nyawa. Enam tahun yang lalu saya telah menulis sebuah artikel panjang lebar mengenai kajian banjir yang bertajuk “Banjir Berlaku Kerana Manusia”. Artikel satu mukasurat penuh akhbar ini telah disiarkan di akhbar-akhbar tempatan dan telah diambil menjadi rujukan di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada ketika itu. Saya nyatakan bahawa banjir besar berlaku kerana penggondolan hutan besar-besaran oleh kerajaan negeri terutama di Kelantan yang telah menyebabkan banjir besar bah kuning pada tahun 2014 dan banjir-banjir besar yang lain selepas itu di negeri tersebut. Keadaan yang sama juga berlaku di negeri Kedah. Beratus-ratus ribu hektar hutan-hutan telah ditebang kononnya untuk pertanian tetapi tidak ditanam semula, mereka hanya berminat untuk menebang dan mengambil balak. Apabila berjuta tan selut dari hutan yang digondol dan tidak ditanam semula ini masuk ke dalam sungai, sungai menjadi cetek dan sistem parit menjadi tersumbat dan menyebabkan banjir. Sebab itu apabila banjir besar berlaku, air banjir ini berwarna kuning, warna ini datang dari selut dari kawasan hutan yang digondolkan di hulu, berpuluh kilometer dari kawasan banjir di hilir sungai yang telah menjadi cetek. Untuk mengelakkan banjir besar dari kerap berlaku, saya pernah sarankan supaya diwujudkan Akta Pertanian Hutan (Forest Farming Act) supaya hutan-hutan tidak digondolkan sesuka hati oleh kerajaan negeri tanpa ditanam semula.
35. Jika kita terus berusaha dan dapat mencapai sedikit sebanyak penyelesaian ke atas keempat-empat masalah di atas iaitu masalah rasuah, masalah ekonomi, masalah air dan masalah banjir, inshaAllah kehidupan rakyat Malaysia akan menjadi lebih dipermudahkan berbanding kesukaran yang dialami selama ini. Ini adalah perjuangan saya, untuk terus berfikir dan berkhidmat untuk mengurangkan beban rakyat daripada masalah-masalah ini ke arah kehidupan rakyat yang lebih baik di samping membina dan merubah sistem politik di Malaysia supaya menjadi lebih bersih dan positif. Semoga perjuangan kita ini diberkati Allah SWT, inshaAllah.
DOA
36. Akhir kata saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua kerana menyokong perjuangan saya selama ini. Saya mohon sokongan dan restu tuan-tuan dan puan-puan untuk meneruskan perjuangan ini.
37. Doakan saya. – UMNO Online
Isham Jalil
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
25 Februari 2023